Pada suatu hari Hanzalah keluar rumah sambil memaki dirinya sendiri, ‘Aku sudah munafik, aku sudah munafik!’.

Abu Bakar yang mendengar kata-kata Hanzalah lantas bertanyakan maksud perkataan Hanzalah tadi.

Hanzalah menjelaskan, ”Pada suatu hari kami bersama Rasulullah SAW dalam majlis ilmu dan menceritakan perihal syurga dan neraka, seolah-olah kami benar-benar melihat dengan mata kepala sendiri. Tetapi, setiap kali kami keluar dari situ, kami bercanda dan tertawa-tawa bersama isteri dan anak-anak. Kami sering melupakan (apa yang kami pelajari), dan banyak yang kami sia-siakan.”

Abu Bakar menjawab, ”Demi Allah, aku pun pernah mengalami apa yang kau alami.”

Lalu mereka sama-sama menghadap Rasulullah SAW dan mengadukan kejadian itu.

Rasulullah SAW bersabda, ”Sesungguhnya jika engkau keluar dari majlisku sepertimana kamu berada di dalam majlisku, nescaya malaikat akan berjabat salam denganmu di luar sana. Tetapi, wahai Hanzalah, itu tidak apa-apa. Sesaat saja sesaat saja” (Kadang-kadang sahaja kita lupakan Allah).