Dari Ibnu Abbas Radiyallahu ‘anhu : Saya mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasalam bersabda :

Siapa yang membuat satu gambar di dunia, dia akan diazab (disuruh) untuk meniupkan ruh pada gambar itu dan ia bukan peniupnya (tidak akan mampu meniup ruh untuk menghidupkan gambar tersebut)

Ibnu Abbas r.a. adalah seorang tabii’. Satu hari beliau diajak makan oleh seorang pelukis. Kata beliau kepada pelukis itu “Jangan lukis gambar yang bernyawa“. Jawab pelukis itu “Ini rezeki saya“. kata Ibnu Abbas r.a. : “Apabila kamu harus membuat gambar (melukis), gambarlah pohon atau sesuatu yang tidak ada nyawanya.” (seperti gambar pemandangan -bukit, gunung, sungai)

Hanya Allah yang boleh menjadikan makhluk bernyawa. Manusia tidak layak menirunya, malah Allah akan menghidupkan gambar (makhluk bernyawa) yang dilukis itu dan dimasukkan ke dalam neraka bersama pelukis gambar untuk memukul pelukisnya:-

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda : “Orang-orang yang membuat atau melukis gambar-gambar akan disiksa pada Hari Kiamat. Maka akan difirmankan kepada mereka: Hidupkan apa yang telah kamu ciptakan.”

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya : Rasulullah s.a.w bersabda : “Manusia yang paling berat siksanya pada Hari Kiamat, ialah para juru gambar.”

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya : Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : “Setiap tukang gambar akan di masukkan ke dalam Neraka. Allah akan menjadikan baginya dengan setiap gambar yang dibuatnya nafas yang menyiksanya di Neraka Jahannam.”

Bagaimana pula gambar yang diambil dengan kamera?

Ulama terdahulu telah membahaskan tentang hukum gambar yang diambil dengan menggunakan kamera. Ada yang membolehkan, dengan alasan kamera tidak memerlukan usaha dari tangan manusia. Manakala yang mengharamkannya mengatakan kamera juga memerlukan usaha tangan manusia untuk memasukkan filem, mencuci filem dan sebagainya. Gambar dari kamera tetap tercipta walaupun tidak dilukis dengan tangan. Akhirnya kalah pendapat yang membolehkan penggunaan kamera.

Semua 4 mazhab mengharamkan melukis gambar makhluk bernyawa. Diharamkan kecuali bergambar untuk keperluan seperti membuat IC (mykad), passport dan sebagainya.

Jangan digantung gambar makhluk bernyawa kerana malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang digantung gambar.

Hadis Sahih Bukhari bahawa Abu Thalhah berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah bersabda, “Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya terdapat anjing dan gambar.”

(Malaikat rahmat sahaja tidak masuk, malaikat “ketuk-ketuk” iaitu malaikat maut masuk juga)

Ada juga yang kata gambar separuh boleh (iaitu gambar muka sahaja)? Betulkah begitu?

Bahagian yang paling penting dalam badan ialah muka kerana manusia dikenali melalui rupa bentuk mukanya seperti mata, hidung dan mulutnya. Tanpa bahagian kepala dan muka, manusia tidak dikenali. Jadi adalah tidak logik jika dikatakan gambar muka dibolehkan. Makhluk bernyawa dibezakan melalui kepala dan mukanya.

Nabi pernah memotong gambar bahagian kepala burung pada kain langsir yang dipasang Siti Aisyah, dan kain itu dijadikan sarung bantal.

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya : Kami mempunyai kain langsir yang bergambar burung. Orang yang hendak masuk, tentu akan melihat kain langsir yang bergambar tersebut. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: “Gantilah kain langsir ini, kerana setiap kali aku masuk dan melihatnya aku menjadi ingat kepada dunia.

UMUM BALWA (perkara terlarang yang sukar dielakkan)

Isu gambar ini juga merupakan satu perkara yang termasuk dalam kategori “umum balwa”, majoriti orang ramai telah terlibat dengan perkara terlarang tersebut. Hukumnya di”pendamkan” tetapi tidak dihapuskan, iaitu tidak bercakap tentang hukumnya secara terang-terangan kecuali jika ditanya dari hati ke hati atau melalui pengajian dalam majlis ilmu.