Setiap anggota tubuh akan dikembalikan seperti asalnya pada hari kiamat nanti, termasuk juga rambut. Dari laman web mufti Brunei:

Rambut perempuan yang dipotong, kuku kaki dan bulu-bulu yang haram dilihat adalah wajib disembunyikan daripada pandangan orang lain. Demikianlah juga bulu ari-ari lelaki, wajib disembunyikan daripada pandangan orang lain. Ini kerana setiap sesuatu yang haram dilihat daripada anggota lelaki atau perempuan ketika bersambung (anggota tersebut), adalah haram juga dilihat ketika ianya bercerai. (I‘anah Ath-Thalibin, bab an-nikah: 3/416)

Oleh yang demikian sunat bagi perempuan dan lelaki menanam potongan kuku, rambut dan lain-lain bulu di dalam tanah. (Al-Majmu‘, kitab ath-thaharah bab as-siwak: 1/357)

Menurut kitab Al-Ihya’, jika seseorang itu dalam keadaan junub atau berhadas besar, jangan dia memotong rambut, kuku atau mengeluarkan darah atau memotong sesuatu yang jelas daripada badannya sebelum dia mandi junub. (I‘anah Ath-Thalibin, bab ash-shalah: 1/131)

Rambut Itu Aurat

Selain daripada leher, lengan dan seluruh anggota badan  (melainkan muka dan dua tapak tangan sehingga pergelangan), rambut juga termasuk dalam aurat perempuan yang wajib ditutup daripada pandangan orang lain. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

Nur [31] Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada

· suami mereka atau

· bapa mereka atau

· bapa mertua mereka atau

· anak-anak mereka, atau

· anak-anak tiri mereka atau

· saudara-saudara mereka atau

· anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau

· anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau

· perempuan-perempuan Islam atau

· hamba-hamba mereka atau

· orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau

· kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan

dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.