Dua tahun selepas Hijrah, ibadat puasa dalam bulan Ramadan diperintahkan ke atas umat Islam. Bagaimanapun, tahun tersebut terkenal atas sebab lain kerana pada tahun tersebut, tahun ke lima belas ajaran Islam, titik tolak terbesar dalam Islam berlaku. Pada tahun inilah berlakunya peperangan Badar (lihat bahagian 6.5). Disebabkan kepentingannya dalam sejarah Islam, Qur’an menamakan hari ini “Yawm al-Furqaan” (terjemahan kasar: “Hari Penilaian dan Kemenangan Muktamad”).

Selama lima belas tahun umat Islam menanggung penyeksaan kaum Quraisy dan golongan bangsawan mereka. Mereka telah kehilangan harta, tanah dan kampung halaman, dan telah menanggung kesukaran yang perit. Ramai yang meninggal dunia. Selepas hijrah, kaum Quraisy masih terus mengekori mereka dan kerap menghantar pasukan tentera yang kecil untuk menyerang mereka. Pasukan-pasukan ini pergi ke pinggir bandar dan ladang-ladang mereka.

Pada bulan ketiga tahun berikutnya, dalam bulan Safar (bulan ke dua belas selepas hijrah), Muhammad (s.a.w.) menerima berita mengenai satu kabilah yang menuju kepada kaum Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufyan, salah seorang bangsawan Quraisy yang amat keras permusuhannya terhadap umat Islam. Muhammad (s.a.w.) memutuskan untuk merampas kabilah ini dan memberi ganti rugi kepada umat Islam atas harta benda mereka yang dirampas apabila mereka meninggalkan Mekah.

Semasa menuju ke Mekah, Abu Sufyan mendapat berita mengenai niat Muhammad (s.a.w.) dan ini amat membimbangkannya. Abu Sufyan bergegas menghantar berita kepada kaum Quraisy, merayu bantuan mereka dan meminta mereka bertindak dengan segera. Apabila kaum Quraisy menerima rayuan ini, mereka dengan segera mengumpulkan para bangsawan mereka, semua suku-suku di Mekah dan beberapa suku di kawasan sekitar dan bersedia untuk berperang. Tidak seorang pun bangsawan Quraisy yang tinggal di Mekah kecuali Abu Lahab yang menghantar Al-Aasi bin Hisham bin Al-Mugheerah menggantikan tempatnya (dengan syarat Abu Lahab membayar hutannya berjumlah 4000 dirham). Inilah hari yang dinanti-nantikan oleh golongan bangsawan ini. Inilah hari yang mereka akan akhirnya menghapuskan negara baru ini serta menghapuskan Muhammad dan pengikut-pengikutnya. Mereka akan dijadikan contoh sehingga suku-suku Arab akan menjadi takut untuk beberapa generasi akan datang. Tentera Quraisy bersegera untuk menghalang tentera Islam sebelum mereka sampai ke kabilah tersebut.

Muhammad (s.a.w.) menerima khabar mengenai tentera Quraisy, bilangan mereka dan senjata mereka. Pengikut-pengikutnya telah keluar bersamanya untuk urusan yang lebih kecil dan tidak bersedia untuk berperang. Atas sebab ini, Muhammad (s.a.w.) mengumpulkan mereka dan memaklumkan mereka mengenai tentera Quraisy. Kemudian beliau meminta pendapat mereka mengenai tentera.

Semasa Muhammad (s.a.w.) berbincang dengan mereka, beliau sebenarnya meminta pendapat golongan Asar. Mereka telah berjanji untuk melindunginya dan pengikut-pengikutnya dengan nyawa dan harta mereka selagi mereka berada dalam lingkungan bandar Madinah. Tetapi kini beliau meminta mereka meninggalkan bandar dan berperang di tempat lain. Beliau ingin melihat reaksi mereka.

Jawapan pertama kepada pertanyaan Muhammad datang daripada Muhajirin. Mereka berjanji akan mengikutinya ke hujung dunia dan mati sebagai Muslim. Muhammad (s.a.w.) mengulang soalan tersebut dan jawapan Muhajirin adalah menggalakkan. Setelah Muhammad (s.a.w.) bertanya tiga kali, Saad bin Muath, salah seorang pemimpin suku-suku di Madinah berdiri dan berkata:

Mungkin soalanmu ditujukan kepada kami wahai utusan Allah? Mungkin kau merasakan yang golongan Ansar merasa terpaksa membantumu di luar sempadan bandar ini? Maka aku bercakap atas nama Ansar dan bagi pihak mereka: Pergilah ke mana sahaja yang kau mahu, dan hulurkanlah persahabatan dengan sesiapa yang kau mahu, dan tolaklah sesiapa yang kau mahu, dan ambillah daripada harta kami apa yang kau mahu dan berikanlah kami apa yang kau mahu. Sesungguhnya apa yang kau ambil daripada kami lebih kami hargai daripada apa yang kau berikan kami. Apa pun keputusanmu mengenai hal ini, keputusan kami tertakluk kepada keputusanmu. Demi Allah, jika kamu mara bersama kami ke tasik-tasik di Ghammadan (di Yaman), kami akan mara bersamamu! Demi Allah, jika kau menyeberangi laut, kami akan menyeberanginya bersamamu.

Seorang lelaki Ansar berdiri dan berkata perkara yang serupa. Apabila Muhammad (s.a.w.) mendengar kata-kata ini, wajahnya berseri dan beliau amat gembira. Kemudian beliau memerintahkan mereka:

Maralah ke hadapan dan terimalah berita gembira. Kerana Allah telah menjanjikan aku salah satu di antara dua (kemenangan atau Syurga). Demi Allah, seolah-olah aku melihat tempat kematian mereka [sedang aku bercakap].

Tentera Muhammad terdiri daripada 313 askar, dua ekor kuda dan tujuh puluh ekor unta. Dua atau tiga askar bergilir-gilir menunggang unta ini, dan tiada pilih kasih di antara pegawai dan askar biasa. Bendera diberikan kepada Musab bin Omair, dan panji-panji Muhajirin dan Ansar diberikan kepada Ali bin Abi Talib dan Saad bin Muath masing-masing. Bendera tersebut berwarna putih manakala panji-panji berwarna hitam. Tentera Quraisy adalah di antara sembilan ratus hingga seribu askar.

Semasa kedua-dua pasukan sedang mara, Abu Sufyan memesongkan perjalanan kabilahnya dari jalan tersebut dan menuju ke pinggir pantai. Setelah beliau berjaya menyelamatkan kabilahnya, beliau menghantar seorang utusan kepada tentera Quraisy untuk menyuruh mereka pulang kerana kabilahnya telah selamat. Namun para bangsawan Quraisy berkeras mahu berperang dengan umat Islam dan enggan pulang tanpa mengajar mereka.

Apabila kedua-dua pasukan bertembung, Muhammad (s.a.w.) menyediakan pasukannya untuk bertempur. Kemudian beliau masuk ke khemahnya dan berdoa kepada Tuhan dan merayunya supaya mengurniakan kemenangan ke atas musuh mereka, kerana jika umat Islam yang sedikit itu disembelih pada hari itu, maka agama Allah akan terhapus dari muka bumi buat selama-lamanya. Muhammad (s.a.w.) terus berdoa, memuji Tuhan dan merayu bantuanNya dengan rasa rendah diri dan penuh penyerahan buat beberapa lama. Apabila Abu Bakar melihat keadaannya, beliau cuba sedaya-upayanya memujuk dan menenangkannya. Akhirnya Muhammad (s.a.w.) keluar dari khemahnya dan bercakap dengan pengikut-pengikutnya. Beliau memberikan mereka semangat untuk berjuang, supaya takut kepada Tuhan dan mencari ganjarannya yang besar. Kemudian pertempuran pun bermula.

Telah menjadi adat pada masa itu bahawa pertempuran dimulakan dengan wakil yang kuat dari setiap pihak berpedang secara satu lawan satu sehingga salah seorang terbunuh. Kaum Quraisy menghantar tiga orang pemain pedang yang mahir di kalangan bangsawan mereka sebagai wakil, iaitu Utba bin Rabia, abangnya Shaiba dan anaknya Al-Waleed. Muhammad (s.a.w.) menghantar bapa saudaranya Ubaidah bin Al-Harith, bapa saudaranya Hamzah dan sepupunya Ali. Wakil umat Islam dapat menewaskan wakil Quraisy dengan cepat, tetapi Ubaidah cedera parah dan meninggal dunia kemudian.

Kedua-dua pihak menghampiri satu sama lain sehinggalah Muhammad (s.a.w.) memberikan arahan “Bangkitlah ke Syurga yang lebarnya di antara langit dan bumi.”

Apabila Muhammad (s.a.w.) memberikan arahan ini, Umair bin Al-Hamam bertanya, “Syurga yang lebarnya di antara langit dan bumi? “. Muhammad menjawab. “Ya“. Kemudian Umair berkata, “Bakhin, bakhin (menunjukkan rasa puas hati), wahai utusan Allah. “. Muhammad bertanya, “Mengapakah kamu berkata bakhin, bakhin? “. Jawapnya, “Tiada apa-apa Rasulullah, hanya aku berharap untuk menjadi penghuninya. “. Muhammad berkata, “Maka kau adalah penghuninya. “.

Ubaidah mengeluarkan sedikit buah kurma dari bungkusannya dan mula menyuapnya ke mulut tetapi berhenti tiba-tiba dan berkata, “Jika aku diberi masa untuk memakan kurma ini, sesungguhnya aku telah hidup [terlalu] lama.”. Beliau mencampakkannya dan bertarung sehingga beliau terbunuh.

Kedua-dua pihak bertarung bersungguh-sungguh sehinggalah umat Islam menang dan mengalahkan kaum Quraisy. Tujuh puluh askar Quraisy terbunuh dan tujuh puluh lagi ditawan. Di pihak umat Islam, hanya enam orang Muhajirin dan lapan orang Ansar terbunuh. Semua bangsawan-bangsawan Quraisy yang termulia mati di tangan umat Islam pada hari itu. Berikutan peristiwa ini, ayat Qur’an berikut diturunkan:

Sungguh Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah orang-orang yang lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuri nikmatNya.

Al-Qur’an, Al-‘Imran:(123)

Setelah mengebumikan yang mati dari kalangan kaum Quraisy, Muhammad (s.a.w.) menoleh ke kubur mereka dan berkata, “Wahai penghuni [kubur ini], kami dapati apa yang dijanjikan Tuhan kami adalah benar, maka adakah kamu dapati apa yang Tuhan kamu janjikan adalah benar? “.

Semasa umat Islam pulang, Muhammad (s.a.w.) mengarahkan mereka supaya melayan tawanan perang mereka dengan baik. Abu Aziz meriwayatkan:

Aku adalah [di antara tawanan] dalam kumpulan Ansar semasa mereka membawa aku pulang dari Badar. Apabila mereka memberikan aku makanan, mereka memberikan aku roti dan memadai mereka memakan kurma kerana menghormati arahan Utusan Allah (supaya berbuat baik kepada tawanan). Bila sahaja seseorang [daripada pengawalku] mendapat sekeping roti, dia akan memberikannya kepadaku. Kerana rasa segan, aku memulangkannya kepadanya, tetapi dia memulangkannya kepadaku dan enggan memakannya.

Di antara tawanan tersebut adalah saudara-mara Muhammad (s.a.w.) seperti bapa saudaranya Al-Abbas, sepupunya Akeel dan lain-lain. Namun beliau bertegas bahawa mereka tidak diberikan layanan istimewa dan dilayan seperti tawanan-tawanan lain.

Muhammad (s.a.w.) tidak membunuh tawanan-tawanan tersebut, sebaliknya memaafkan mereka dan membenarkan mereka ditebus oleh kaum mereka. Beliau menebus mereka mengikut kekayaan mereka. Mereka yang tidak mempunyai apa-apa dimaafkan dan dibebaskan tanpa tebusan. Yang lain dibebaskan dengan syarat mereka mengajar sepuluh orang Ansar membaca dan menulis. Zaid bin Thabit [3] adalah salah seorang Muslim yang belajar membaca dan menulis dengan cara ini.

Semasa peperangan Badar, kaum Yahudi dari suku Bani Qainuqa melanggar perjanjian mereka dengan Muhammad (s.a.w.) dan bertarung bersama-sama kaum Quraisy menentangnya. Muhammad (s.a.w.) kemudiannya menahan mereka dan mengarahkan mereka supaya meninggalkan bandar tersebut. Beliau membenarkan mereka pergi ke mana sahaja dan membawa bersama apa sahaja milik mereka yang mereka mahu, tetapi mereka tidak boleh lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan berhijrah ke Arab Utara (Sham).