Amnesty International Malaysia amat dukacita kerana selepas 50 tahun Merdeka – dan pada ulangtahun ke-20 Operasi Lalang – kerajaan Malaysia sekali lagi menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menghapuskan aktiviti politik dan sosial yang aman, dan juga kritikan membina dari badan bukan kerajaan dan juga gagasan-gagasan masyarakat yang lain.

Penahanan ISA minggu lalu dengan jelas berniat untuk menghadkan perbincangan yang penting tentang isu dasar, ekonomi, rasuah dan cabaran sosial yang lain.

Lagipun, aktivis hak asasi seluruh dunia sudah lama mengecam ISA sebagai melanggar prinsip antarabangsa.

Ironisnya, kerajaan Malaysia masih tidak segan menggunakan ISA walaupun Malaysia sekarang menjadi ahli Majlis Hak Asasi Manusia di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Amnesty International Malaysia juga sangat bimbang sekarang kerana ISA merupakan satu simbol penyeksaan yang tidak boleh dipertikaikan lagi.

Awal tahun ini, keputusan mahkamah tentang kes Malek Hussin, seorang bekas tahanan ISA, membuktikan bahawa penyeksaan tahanan ISA sememangnya berlaku dan ia adalah satu perkara yang serius.

Amnesty International Malaysia menekankan bahawa ISA adalah satu undang-undang yang digunakan untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia.

ISA merupakan simbol penyeksaan dan ketidakadilan yang paling ketara di Malaysia dan kami mendesak pihak pemerintah supaya memansuhkan ISA dengan segera.

Penulis adalah Pengarah Eksekutif, Amnesty International Malaysia.