BANGI, 1 April (Hrkh) – Walaupun Barisan Nasional (BN) merupakan parti berbilang kaum namun komponennya yang berteraskan bangsa menyukarkan mereka membentuk sebuah parti seperti Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) yang mempunyai komposisi induknya Melayu dikuti bangsa-bangsa lain. <!–

“Kalau kita tengok Umno misalnya ada Melayu dan bumiputera, ia tidak boleh menerima orang lain untuk menjadi ahlinya, syarat untuk jadi ahli Umno ialah orang Melayu beragama Islam atau bumiputera, sedangkan kalau menjadi ahli MCA mestilah berbangsa Cina begitu juga MIC dan berasaskan kepada bangsa bukannya agama,” katanya ketika ditemui dalam temu bual eksklusif di pejabatnya di UKM.

Katanya, dalam hal ini sesuatu yang sangat susah untuk bergabung kerana ia berasaskan bangsa dan macam mana pula BN hendak bahagikan ahlinya sebab Umno dan MCA dua parti yang besar.

Katanya, ini berbeza pula dalam KeADILan, yang mana majoritinya adalah Melayu iaitu setengah adalah Melayu manakala 1/4 Cina dan 1/4 lagi adalah India.

Tegasnya, jika Umno bergabung dengan MCA mereka haruslah mengagihkan komposisi itu sama banyak jika ini berlaku ia sekali gus akan merugikan Umno itu sendiri.

“Inilah tunggak yang paling penting dan Umno percaya kepada orang Melayu, jika dia buat macam itu sudah tentu tidak akan diterima oleh orang Melayu, sebagai parti yang memperjuangkan orang Melayu, saya yakin dia tidak akan mengambil tindakan seperti itu.

“Kalau ia mengambil strategi yang baik mungkin ia boleh jadikan BN itu satu parti seperti PKR, ” katanya.

Tambah beliau, keadaan ini mungkin akan ditolak oleh pengikutnya di peringkat bawah yang tidak ada kepentingan seperti di Johor rakyatnya masuk umno kerana Melayunya itu.

“Kalau berpecah mereka akan keluar Umno dan mungkin akan mencari parti lain yang mana kemelayuannya lebih kuat, ini agak sukar nak dibuat dengan sistem yang ada sekarang ini iaitu masyarakat majmuk,” katanya.

Keadaan ini katanya, berbeza pula dengan konsep PAS yang mana keahlianya terbuka semua orang dengan syarat satu sahaja iaitu Islam.

Justeru, katanya jika dilihat dari segi dasar mana-mana parti, PAS adalah lebih universal dan terbuka.