KATHMANDU 31 Mac – Beberapa bahagian timur Nepal lumpuh hari ini apabila pertubuhan-pertubuhan Islam melancarkan mogok untuk memprotes serangan bom ke atas sebuah masjid.

Dua maut dan dua lagi cedera parah dalam letupan di sebuah masjid di Biratnagar semasa solat Isyak malam semalam.

Ketua pentadbir kerajaan di kawasan itu, Madhav Regmi berkata, sekolah, pasar dan perkhidmatan pengangkutan ditutup di Biratnagar, kira-kira 400 kilometer ke timur Kathmandu serta kawasan sekitarnya.

Serangan bom itu adalah yang pertama ditujukan ke atas sebuah masjid di negara yang majoriti penduduknya beragama Hindu.

Konflik serius tidak pernah berlaku antara penganut kedua-dua agama itu di negara ini.

Regmi berkata, beliau mengadakan pertemuan hari ini dengan para pemimpin Islam yang bimbang tentang situasi keselamatan dan menuntut kerajaan membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa.

Polis masih mencari penyerang dan belum membuat tangkapan, kata beliau.

Satu kumpulan yang menggelar diri mereka Tentera Pertahanan Nepal mengaku melancarkan serangan tersebut.

Ia menghantar satu kenyataan kepada stesen televisyen bebas, Kantipur Television dengan berikrar “untuk meneruskan serangan seumpama itu sehingga Nepal diisytiharkan semula sebagai sebuah negara Hindu.”