KUALA LUMPUR 31 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cadangan supaya kerajaan memohon maaf atas kesilapan memecat bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim adalah bersifat peribadi. Timbalan Perdana Menteri berkata, kenyataan seumpama itu tidak boleh dianggap sebagai pendirian rasmi kerajaan. ‘‘Itu cadangan dia secara peribadi, tetapi terpulang kepada kerajaan untuk menimbangkannya,” kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan prospektus Dayang Enterprise Holdings Berhad di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Zaid baru-baru ini bahawa kerajaan BN harus memohon maaf atas kesilapan memecat Salleh dan mencampuri urusan badan kehakiman itu, 20 tahun lalu.  Menurut Zaid, tindakan itu juga memalukan negara apabila dunia memandang serong terhadap sistem keadilan Malaysia.

Semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegur Zaid kerana membuat kenyataan berkaitan kehakiman tanpa membincangkan perkara itu terlebih dahulu di peringkat Kabinet.

Mengenai desakan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu supaya kerajaan membebaskan lima ahli pertubuhan haram Hindu Right Action Force (Hindraf) yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Najib berkata, ia terpulang kepada pihak berkuasa untuk membuat pertimbangan.

‘‘Sesiapa pun boleh beri pandangan atas perkara ini, tetapi ia terpulang kepada pihak berkuasa,’’ ujarnya.

Ditanya permintaan pemimpin Sabah supaya mereka diberikan lebih banyak jawatan kanan dalam Kabinet, beliau berkata, pandangan itu perlu dihormati kerana negeri berkenaan amat penting kepada BN dari segi politik.

Comment : BN sepatutnya menghormati pandangan yang diberikan oleh Dato Zaid kerana beliau berpendapat sistem keadilan dan pemerintahan Malaysia sudah tidak berada dilandasan yang betul. Mengapa pula Najib masih mempertikaikan lagi kenyataan Dato Zaid. Seolah-olah tiada masalah dalam pemecatan tersebut. Muhyidin ni pun satu, kenapa? Takut sangat dengan kontroversi dan teguran. Nampaknya BN semakin goyah kerana ahlinya sendiri sudah berani kedepan untuk menegakkan kebenaran. Dengan ini rakyat Malaysia harus sedar dan berubah arah. Jangan asyik menuding jari kepada pembangkan sahaja. Seharusnya kita memberi peluang untuk melihat perubahan yang dilakukan, bukannya asyik mencari kelemahan sistem pemerintah.