WASHINGTON 31 Mac – Ketua Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Michael Hayden semalam memberi amaran bahawa rangkaian Al-Qaeda sedang menjalankan latihan intensif bagi melancarkan serangan dengan menjadikan Barat sebagai sasaran.

Beliau juga memberi amaran mengenai kemungkinan anggota kumpulan itu menyusup masuk ke Amerika Syarikat (AS) tanpa dapat dikesan.

Menurutnya, rangkaian berkenaan juga telah membina penempatan di wilayah sempadan Pakistan-Afghanistan sejak 18 bulan lalu dan menggerakkan operasi mereka di dengan pengetahuan Osama bin Laden.

“Mereka mengadakan latihan intensif di wilayah tersebut dan mungkin berjaya melepasi pemeriksaan di Dulles (lapangan terbang antarabangsa berhampiran Washington DC),” kata Hayden kepada stesen televisyen NBC.

Sehubungan itu, beliau menggesa teknik perisikan di kalangan pentadbiran persekutuan dipertingkatkan selain menjalin kerjasama lebih erat dengan suku-suku puak di Pakistan dan Afghanistan.

Bagaimanapun katanya, “kemusnahan” dasar kerajaan di bawah kepimpinan Presiden Pervez Musharraf pada 2006, membolehkan Al-Qaeda meningkatkan keupayaan mereka di rantau itu.

“Beliau turut menarik balik sokongan pihak tentera Pakistan kepada suku kaum di rantau itu, sehingga membolehkan AlQaeda dan Taliban semakin mendapat kuasa di sana,” katanya.

Hayden turut menegaskan bahawa Osama masih lagi bersembunyi di wilayah bersempadan Pakistan-Afghanistan, tetapi tidak lagi mengawal operasi rangkaian Al-Qaeda.

Sebaliknya kata beliau, Osama yang disifatkannya sebagai `ikon’, kini dipercayai menjalin hubungan dengan kumpulan militan di Mesir.

“Biarlah saya menggunakan terma seorang ikon. Kehadirannya memberi suntikan semangat dan bayangan kepada gerakan global.

“Namun dia tidak terlibat dalam operasi oleh Al-Qaeda yang selalunya dilakukan oleh penduduk negara asal. Paling dahsyat, ia dilakukan oleh mereka yang dipanggil sebagai al-Masris, bermaksud `orang Mesir’,” katanya.