Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakob mengakui pihaknya baru dalam peringkat mengenal pasti tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kes mempamerkan kain rentang yang didakwa menghina institusi raja, semasa satu perhimpunan di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Iman di sini, Ahad lepas.

Beliau yang mendakwa kes itu kini di peringkat akhir siasatan bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika dihubungi Bernama semalam.

Sempat pula Ayub menasihatkan orang ramai yang ingin menyambut keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini pagi esok supaya tidak membawa kain rentang yang mengandungi perkataan-perkataan sensitif.

Sensitif terhadap siapa? Ayub risaukan siapa? Adakah Ayub menjangka mereka yang akan menyambut Sultan Terengganu itu akan membawa kain rentang seperti “Kami nak Idris, natang”?

“Kita minta semua yang hadir supaya mengawal perasaan, jaga kelakuan dan jangan melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan ketegangan,” katanya.

Persoalannya, mengapa tidak ada sebarang laporan bahawa Ayob memberikan nasihat yang sama kepada penyokong-penyokong bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh yang sebelum ini gila-gila menunjuk perasaan di kediaman rasmi Menteri Besar?

Alahai Ayub… Persoalannya bukan sudah kenal pasti atau tidak. Bukan soal peringkat akhir siasatan atau peringkat awal siasatan. Orang tak peduli pun kenyataan-kenyataan yang prosedural yang cuba menunjukkan polis siasat juga kain rentang “Kami nak Idris, natang” itu.

Apa yang lebih penting untuk disedari oleh Ayub dan ketuanya di Kuala Lumpur ialah mata rakyat sekarang sedang menyiasat identiti sebenar polis. Rakyat mungkin malas nak bertanya lagi mengapa polis begitu lemah gemalai dan lembut mesra melayan penunjuk perasaan di Pulau Pinang atau di Shah Alam. Memanglah, itu tunjuk perasaan Umno menghentam pembangkang.

Tetapi, bagaimana pula tunjuk perasaan di Kuala Terengganu? Itu bukan tunjuk perasaan menghentam pembangkang. Itu tunjuk samseng dan gedebe kepada Sultan.

Jika selama ini polis cekap benar menggunakan peluru hidup dengan melepaskan empat atau lima das tembakan rambang sambil berlari menghadapi perhimpunan pembangkang di Batu Burok, mengapa polis tidak ambil tindakan terhadap penyokong-penyokong Idris yang begitu megah dengan kain rentang “Kami nak Idris, natang”? Jika polis berada di tempat kejadian dan tindakan tidak diambil, adakah polis bersubahat dengan mereka yang disebut oleh akhbar sebagai “mempamerkan kain rentang yang didakwa menghina institusi raja”?

Mengapa polis membiarkan perbuatan itu berlaku? Tidak ada laporan polis merampas kain rentang itu. Tidak ada juga laporan polis menghalang kain rentang itu dipamerkan. Jika semua itu tidak berlaku, bolehkah polis menghalang rakyat menuduh mereka bersubahat dengan tindakan mempamerkan kain rentang itu dan kemudian sedap mulut berkata “Itu kerja orang PAS”!?

Adakah polis tidak tahu, tidak nampak atau tidak perasan kewujudan kain rentang itu? Bukankah polis sebelum itu begitu cekap pagi-pagi buta menahan empat lelaki berusia antara 23 hingga 27 tahun kononnya kerana dipercayai membawa 20 helai kain rentang berunsur hasutan mengenai pelantikan Menteri Besar Terengganu di Jalan Sultan Muhammad?

Membawa kain rentang yang tertulis “Daulat Tuanku”, “Selamatkan Terengganu Darul Iman” dan “Daulat Tuanku, rakyat berdiri di belakang DYMM Tuanku” disyaki “berunsur hasutan”. Mengapa mereka disiksa di dalam lokap dan dihadapkan ke mahkamah? Kalau orang kata gila, tentu Ayub dan gerombolannya marah. Tetapi, apa kes disoal sehingga empat jam oleh 10 orang polis Cawangan Khas selepas didapati tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah?

Apa siumannya menyiksa rakyat tidak berdosa sehingga akhirnya beliau terlantar di Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ) akibat sesak nafas dan serangan asma akibat tidak dapat tidur? Sedangkan, yang mempamerkan kain rentang “Kami nak Idris, natang” di waktu siang yang terang tidak diusik sedikitpun ketika mereka melakukan perbuatan itu.

Atau, adakah polis tidak ada berhampiran kediaman Menteri Besar ketika tunjuk perasaan penyokong-penyokong Idris itu berlaku? Kalau benar begitu, lagi teruk!

Alahai Ayub… Bagaimana jika gambar-gambar memaparkan kain rentang yang dilaporkan sebagai “didakwa menghina institusi raja” itu tidak bolos? Adakah polis akan memburu mereka seperti polis melancarkan gerakan memburu “perusuh” 8 September 2007? Jika gambar penghinaan itu tidak bolos, adakah rakyat berpeluang membaca berita bertajuk “3 suspek kes sepanduk hina raja dikenal pasti”?

Ah, kalau mahu tanya, dari pagi ini sehingga pagi esok pun tidak habis. Apa pun, terima kasihlah kerana menayang-nayang dan menunjuk-nunjukkan identiti polis dengan lebih jelas kepada kami. Terima kasih sangat-sangat! (Liputan Buletin Utama TV3 yang turut memaparkan kain rentang “Kami nak Idris, natang”

Dato Ayob Yaakob – Ketua Polis Terengganu

Petikan Harakah 29hb Mac 2008