KUALA TERENGGANU 27 Mac – Sebanyak 10,000 rakyat Terengganu daripada pelbagai lapisan dijangka menyambut keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) sini, Sabtu ini.

Pengerusi Majlis Permuafakatan Terengganu (Mampat), Mohamad Fauzi Abu Samah berkata, sambutan tersebut diatur bagi menunjukkan sokongan dan kesetiaan rakyat Terengganu terhadap Tuanku Mizan.

‘‘Sambutan ini menunjukkan rakyat Terengganu berdiri teguh di belakang institusi beraja di negeri ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di majlis mengumpul tandatangan dan pengedaran reben menyokong pihak istana dalam kemelut pelantikan Menteri Besar Terengganu di pekarangan Masjid Tengku Tengah Zaharah di sini hari ini.

Menurutnya, Mampat yang terdiri daripada gabungan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) juga telah menyediakan sebanyak 10,000 reben berwarna kuning untuk diagihkan kepada orang ramai bagi memperlihatkan sokongan terhadap institusi istana.

‘‘Kami juga menganjurkan solat hajat selepas solat isyak di masjid ini malam ini yang diketuai Imam Besar Masjid Negara, Datuk Sheikh Ismail Mohamad Al-Hafiz,” ujarnya.

Beliau berkata, rakyat Terengganu menyokong keputusan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) melantik Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.

Petikan Utusan