KUALA LUMPUR, 25 Mac (Hrkh) – Kenyataan Perdana Menteri yang dituntut berundur, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa perlantikan sesiapa sahaja selain Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu bercanggah dengan perlembagaan adalah salah, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

“Seperti dalam krisis di Perlis baru-baru ini, tindakan-tindakan Perdana Menteri menunjukkan ketidakcekapan yang memeranjatkan di dalam mengendalikan hubungan fundamental dan fungsi kerajaan yang begitu jelas,” kata bekas Menteri Kewangan yang menawarkan diri sebagai calon Presiden Umno itu.

Apa yang berlaku di Terengganu, katanya, adalah krisis kerajaan dan bukannya krisis perlembagaan.

“Sultan telah bertindak dalam bidang kuasa baginda untuk melantik seseorang yang dipercayai mempunyai dukungan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (DUN),” kata Ahli Parlimen Gua Musang itu dalam kenyaataanya yang dianggap keras mengenai kelemahan Abdullah.

Menurut beliau, perlantikan Datuk Ahmad Said oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu adalah sah dan Adun itu sekarang adalah MB Terengganu.

“Terserahlah kepada persidangan DUN nanti untuk memberikan usul percaya kepadanya (Ahmad),” tambahnya.

Semua petisyen, ancaman, paksaan dan deklarasi menyokong Perdana Menteri dan Idris tidak mempunyai kekuatan di sisi undang-undang untuk mencabar perlantikan yang dibuat oleh Sultan itu kerana ia adalah sah di sisi undang-undang, katanya.