KUALA LUMPUR, 25 Mac (Hrkh) – Bermula dengan penangguhan majlis angkat sumpah dua hari selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu, krisis pelantikan menteri besar Terengganu terus berlarutan hingga ke saat ini.

Pada 22 Mac yang lalu, Pejabat Sultan Terengganu telah mengumumkan pemilihan Datuk Ahmad Said, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal sebagai Menteri Besar dan majlis angkat sumpah diumumkan pada pagi keesokan harinya.

Pun begitu, seramai 22 Adun Barisan Nasional, yang diketuai oleh Dato’ Rosol Wahid (Adun Ajil), mengumumkan untuk memulaukan majlis tersebut.

Pada masa yang sama, Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor memberi amaran kepada Ahmad Said agar tidak menerima pelantikan tersebut atau bakal menerima tindakan disiplin daripada jawatankuasa pengurusan parti.

Pada 23 Mac, majlis angkat sumpah yang dijadualkan berlangsung terpaksa ditangguhkan dan Ahmad Said hanya menerima watikah pelantikan daripada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR).

Rosol, bagi pihak kumpulan wakil rakyat BN yang memboikot majlis tersebut, menyerahkan memorandum sokongan untuk Idris dipilih sebagai menteri besar kepada MPPR.

Rosol juga menyatakan Umno negeri telah melucutkan keahlian Ahmad sebagai reaksi balas tindakan beliau yang menerima watikah pelantikan tersebut.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu kenyataannya dua hari lalu menyifatkan pelantikan Ahmad Said sebagai MB Terengganu sebagai tidak mengikut Perlembagaan kerana Ahmad tidak mendapat sokongan majoriti wakil BN.

Pada masa yang sama kesemua 23 wakil rakyat BN Terengganu (termasuk Idris) terus mengulangi ugutan untuk melepaskan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri jika Ahmad dilantik sebagai MB.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Fariz Musa dalam satu kenyataannya hari ini memandang serius perkara ini.

Beliau berkata tindakan tersebut sebagai suatu bentuk penderhakaan terhadap bidang kuasa serta kedaulatan Institusi Kesultanan Terengganu, termasuk Sultan Mizan Zainal Abidin yang juga merupakan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Ketua Negara Malaysia.

AMK mencadangkan Tuanku Mizan agar memecat Abdullah Ahmad Badawi dari jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Selain itu AMK juga mencadangkan melucutkan jawatan kesemua 23 Adun BN Terengganu yang secara terang-terangan menzahirkan penderhakaan terhadap kuasa Tuanku Sultan dalam urusan pemilihan MB Terengganu yang sengaja digagalkan oleh Abdullah dan Adun-adun BN yang terlibat.

P/S : Kami rakyat Malaysia setuju dengan tindakan yang diambil sekiranya PM dan 22 Adun tersebut dipecat serta merta kerana menghina kedaulatan diraja serta Yang Dipertuan Agong. Mereka (PM / 22 Adun Terengganu) memang tidak menghormati kuasa diraja dalam perlantikan MB tersebut dan masih ingin mempertahankan hak-hak yang sememangnya tidak layak dituntut langsung. BN semakin kurang ajar. Tidak mustahil Paklah mempertahankannya kerana ada kepentingan disana bersama Pak Derih. Apabila parti alternatif membuat bantahan pelbagai tomahan dilemparkan. Ini sudah nyata depan mata kepala kita sendiri. Sudah pasti sekarang rakyat Malaysia tahu dan menyesal tak sudah kerana memilih UMNO pada Pilihanraya yang lalu kerana bersikap biadap dan hanya mementingkan diri sendiri sahaja.