KUALA LUMPUR 25 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengakui kesilapan besarnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 ialah mengabaikan kempen secara siber dalam Internet yang telah digunakan sepenuhnya oleh parti- parti pembangkang.

‘‘Kita telah melakukan kesilapan serius kerana menganggapnya tidak penting dan kita ingat yang penting ialah akhbar dan televisyen.

‘‘Tetapi generasi muda membaca blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

‘‘Kita pastinya telah tewas dalam perang Internet, perang siber. Saya telah melihat keputusan pilihan raya dan wujud keperluan untuk berubah,’’ kata Abdullah semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pelaburan Malaysia 2008 di sini hari ini.

Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Abdullah mencatat prestasi terburuk dalam sejarah pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, dengan lima negeri jatuh ke tangan pembangkang dan hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Parti pembangkang, yang tidak mendapat layanan di media arus perdana, menggunakan kempen secara dalam talian menerusi blog, laman web berita dan SMS menerusi telefon bimbit.

Dalam konteks ini, Abdullah berkata, kerajaan BN bersedia untuk melakukan perubahan dan memberi maklum balas secara berkesan serta memperkasa golongan muda di negara ini.

‘‘Ia adalah sesuatu yang memedihkan, namun ia berlaku tepat pada masanya, bukan sesuatu yang sudah terlambat,’’ kata beliau.

Perdana Menteri berkata, kerajaan BN adalah sebuah kerajaan yang tidak jumud atau terkurung dalam dogmatisme.

‘‘BN adalah kerajaan yang praktikal, yang lebih daripada bersedia untuk mendengar suara rakyat. Paling utama, ia adalah kerajaan yang bersedia untuk berubah dan menangani kebimbangan serta aduan rakyat,’’ ujar beliau.

Beliau berkata, kerajaan BN bersedia berubah dan memiliki keupayaan untuk berubah serta yakin untuk berjaya, seterusnya mencapai wawasan sebuah negara yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.

P/S : Jangan menjadikan alasan kekalahan daripada maklumat siber dan blog pada pru yang lalu. Kerana selama ini surat khabar dan media tempatan tidak pernah telus menyampaikan berita dan maklumat terkini dengan betul dan hanya berbelah kepada satu pihak sahaja. Melalui internet dan blog lah dapat membuat penilaian yang mana salah yang mana betul. Selama ini kerajaan Paklah tidak pernah menyampaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh parti alternatif dan hanya memutar belitkan lagi fakta yang disampaikan kepada rakyat.