KUALA LUMPUR 23 Mac – Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) dan tidak seharusnya menolak pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar secara terbuka.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Al- Habshee berkata, tindakan UMNO Terengganu yang menentang secara terang-terangan pilihan MPPR itu secara tidak langsung mencerminkan sikap biadap mereka yang tidak menghormati kedaulatan kesultanan Melayu.

‘‘Kalau kita ada masalah kita kena duduk berbincang, sultan adalah kedaulatan orang Melayu, saya khuatir rakyat hilang kepercayaan.

‘‘Bukan dengan cara macam ini (bantah), kurang ajar dengan Sultan,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, MPPR mengeluarkan kenyataan yang menamakan Ahmad Said, 51, sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru.

Pelantikan tersebut mengenepikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Idris Jusoh yang mendapat watikah pelantikan sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berikutan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.

Ekoran kenyataan daripada Pejabat Sultan Terengganu itu, 23 ADUN Barisan Nasional (BN) menolak pelantikan itu dan berikrar berdiri teguh di belakang kepimpinan Idris.

Syed Ali memberitahu, tindakan UMNO Terengganu itu sendiri tidak seiring dengan apa yang diperjuangkan oleh parti tersebut selama ini terhadap kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Malah katanya, perbuatan menentang keputusan yang dibuat oleh MPPR oleh UMNO Terengganu seperti ‘meludah ke langit, terkena muka sendiri’.

‘‘Kita marah apabila DAP memulaukan keputusan Istana Perak, malah, kita memaki-hamun DAP kerana menderhaka kepada Sultan tetapi di Terengganu keadaan terbalik pula, UMNO Terengganu sanggup menentang Sultan yang juga merupakan Yang di-Pertuan Agong secara terbuka,’’ tegasnya.

Beliau memberitahu, UMNO Terengganu perlu mengambil iktibar dengan situasi yang berlaku pada ketika ini dan bukannya memalukan orang Melayu sebegini rupa.

‘‘Saya minta mereka hentikan perkara mengarut ini, jangan sampai rakyat hilang keyakinan,’’ ujarnya.

Syed Ali turut menggesa UMNO Terengganu agar menyelesaikan perbalahan mengenai jawatan Menteri Besar Terengganu mengikut saluran yang betul dan menanganinya dengan cara yang berhemah.

Dari Rakyat Terengganu

KUALA TERENGGANU 23 Mac – Rakyat Terengganu mahu semua pihak menerima dan menghormati keputusan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) yang melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Ahmad Said, 51, sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar bandar raya ini mendapati, rakyat berpendapat, keputusan yang dibuat oleh MPPR perlu diterima bagi mengelak dituduh menderhaka kepada istana.

Peniaga kedai runcit, Shukri Long, 38, percaya pemilihan calon Menteri Besar yang dibuat oleh pihak istana dibuat selepas mengambil kira kepentingan rakyat.

“MPPR telah berkenan melantik ADUN Kijal sebagai Menteri Besar yang baru, maka semua pihak perlu menerimanya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, jika pihak tertentu tidak mahu menerima keputusan itu, mereka boleh dituduh menderhaka.

Pandangan itu turut disokong oleh peniaga buah, Arra Sidek, 40, yang berkata, keputusan MPPR tidak harus dipertikaikan sebaliknya perlu dihormati oleh semua pihak.

“MPPR telah membuat keputusan yang terbaik dalam perkara ini dan saya berharap Menteri Besar yang baru akan berusaha membawa pembangunan yang lebih menumpu kepada kepentingan rakyat,” katanya.

Seorang lagi peniaga buah, Zainal Abidin, 48, berkata, peluang perlu diberikan kepada Ahmad untuk meneraju negeri ini kerana MPPR berpendapat, beliau merupakan calon terbaik untuk jawatan itu.

“Kita sebagai rakyat Terengganu perlu menerima keputusan yang dibuat oleh MPPR kerana jika tidak ikut, kita seperti menderhaka kepada sultan,” ujarnya.

Penarik beca yang hanya mahu dikenali sebagai Awang, 70, berkata, dia tidak kisah siapa yang dilantik untuk menerajui negeri ini asalkan pemimpin itu membawa kebaikan kepada rakyat.

“Saya hanya seorang penarik beca, tidak tahu apa-apa tapi jika orang yang dilantik boleh membawa kebaikan kepada semua apa salahnya kita sokong,” katanya.