KUALA TERENGGANU 23 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Ahmad Said, 51, yang menerima watikah perisytiharan pelantikan sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru hari ini, akan dipecat keahliannya dalam UMNO sebaik sahaja mengangkat sumpah jawatan tersebut.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, surat peringatan berhubung pemecatan itu telah dikeluarkan oleh UMNO Terengganu dan diserahkan kepada Ahmad selepas diminta berbuat demikian oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, malam tadi.

“Tindakan pemecatan akan dilaksanakan oleh Badan Disiplin UMNO,” ujarnya selepas menyerahkan surat berkenaan kepada Ahmad dan salinan surat itu serta memorandum menyokong kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Idris Jusoh yang ditandatangani 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN kepada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) di Istana Tetamu di sini hari ini.

Rombongan Rosol bersama ADUN terlibat yang tiba kira-kira pukul 7.55 pagi tidak dibenarkan masuk ke Istana Tetamu dan hanya menyerahkan surat dan memorandum itu kepada Setiausaha MPPR, Shapie Ali di pintu pagar.

Beliau menyifatkan tindakan Ahmad menerima watikah tersebut daripada Yang Dipertua MPPR, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman sebagai satu perbuatan menderhaka kepada parti.

“Tindakan itu secara langsung melanggar arahan dan mengetepikan watikah pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,” ujarnya.

Justeru katanya, perisytiharan Ahmad sebagai Menteri Besar tidak sah kerana beliau tidak lagi akan mewakili parti yang menang majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini jika dipecat daripada UMNO.

“Tindakan mengisytiharkan Ahmad sebagai Menteri Besar akan menyalahi Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Beliau melahirkan keyakinan perkara itu tidak akan menimbulkan sebarang percanggahan antara parti dan pihak istana kerana tindakan yang diambil adalah mengikut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan.

P/S UMNO Sudah tidak efisyen dan rasional. Hilang pertimbangan. Huru hara dalam perlantikan MB Terengganu. Boleh pecat ahli sesuka hati tanpa fikir salah betul. Apa yang ada lagi pada UMNO sekarang?