KUALA LUMPUR, 23 Mac (Hrkh) – Buat julung kalinya, kerajaan negeri Kedah yang kini dipimpin oleh PAS akan memberikan tiket percuma kepada peminat bola sepak untuk perlawanan Liga Super antara Kedah dan Perak di Stadium Darul Aman di Alor Star malam esok.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Mohd Helmi Khalid berkata, pemberian tiket percuma itu adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan PAS kepada seluruh penyokong setia bola sepak negeri itu.

Menurut Mohd Helmi, tiket untuk perlawanan tersebut akan diedar kepada orang ramai di kaunter tiket Stadium Darul Aman mulai pukul 5.oo petang esok (24 Mac).

Mohd Helmi dalam satu kenyataannya turut menasihatkan penyokong supaya datang awal bagi mendapatkan tiket itu dan mematuhi arahan petugas.

Katanya, hanya mereka yang mempunyai tiket dibenar memasuki stadium bagi menyaksi perlawanan itu.

Terdahulu, 17 Mac lalu, Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak mengumumkan pemberian tiket percuma untuk rakyat menyaksikan perlawanan bola sepak.

Stadium Darul Aman mampu menampung kira-kira 30,000 penonton dan tiket-tiket biasanya dijual dengan harga RM15, RM12 dan RM7.

Kedah ialah juara bertahan Liga Super, Liga Perdana dan Piala Malaysia tahun lepas.

P/S : Tahniah kepada MB Kedah kerana menghargai peminat bola sepak Kedah selain daripada terlibat dalam politik dan dalam menegakkan ISLAM.