DSAI

ADA nada optimis apabila Ketua Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberitahu puluhan pemimpin kanan parti itu serta beberapa tokoh NGO bahawa “jalan ke Putrajaya semakin dekat”. Beliau berkata demikian dalam perjumpaan tertutup di rumah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim petang semalam.

Menurut Anwar, biarpun apa yang dikatakan beliau itu ‘macam tidak masuk akal’ namun beliau memberikan bandingan, “Dulu saya kata KeADILan akan menang, orang tak percaya, pemimpin parti sendiri tidak percaya, tapi alhamdulilah kita menang juga,” katanya.

Sebelum ini, Anwar pernah memberitahu bahawa parti itu mensasarkan 30 kawasan parlimen tumpuan, tetapi seperti kata Anwar sendiri, ‘tidak ramai yang percaya,”.

Bahkan seorang pemimpin kanan KeADILan memberitahu penulis, tiga hari sebelum pilihan raya lalu, Anwar memberitahu beliau Barisan Rakyat akan menang sekurang-kurangnya 45 kerusi Parlimen.

“Saya tidak percaya waktu itu,” katanya.

Bahkan, menurut pemimpin yang tidak mahu namanya disebutkan itu, Anwar sendiri pada hari-hari akhir sebelum pembuangan undi mengatakan pembangkang boleh menawan Selangor dan Pulau Pinang.

“Ketika itu Perak dan Kedah tidak termasuk dalam perkiraan kita lagi,” katanya.

Berbalik kepada pertemuan Anwar dengan pemimpin-pemimpin KeADILan, kata sumber, Anwar menekankan bahawa semua ADUN dan Ahli Parlimen yang dipilih rakyat mesti balik ke kawasan masing-masing dan menubuhkan Pusat Khidmat secepat mungkin.

“Anwar menekankan peri pentingnya pemimpin KeADILan dilihat berkerja untuk rakyat jika mahu mengekalkan kemenangan besar parti,” kata beliau.

Jelas beliau, Anwar juga memberi amaran bahawa parti tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja yang terlibat dengan rasuah dan penyelewengan kuasa.

“Tiada kompromi dan kita akan pecat jika terbukti bersalah biarpun dia ahli Parlimen kita sendiri,” kata Anwar tegas.

Dalam pertemuan tersebut, Anwar juga memberitahu bahawa beliau ada berunding dengan ahli-ahli Parlimen BN yang ingin meloncat parti.

Namun syaratnya jelas, “Tiada bayaran dan mereka mesti menerima agenda kita,” kata Anwar.

Sementara mengenai, kedudukan ahli majlis, lembaga pengarah syarikat di negeri-negeri yang dikuasai Barisan Rakyat, Anwar membayangkan bahawa, beliau tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang melobi kedudukan tersebut.

“Kita pilih berdasarkan merit, kalau layak, layaklah, kalau tidak kita akan pilih orang yang layak biarpun bukan pemimpin parti,” kata Anwar

P/S Pastikan semua parti komponen BN dibawah pemerintahan Dato Sri dan harap mereka membuka minda untuk menerima PKR sebagai parti bersama. Mereka takut kedudukan mereka tergugat setelah goyah dalam PRU 12 yang lalu. Dan yang pasti lebih ramai lagi yang akan masuk ke PKR bagi PRU yang akan datang. Insya Allah.