Petikan Dari Utusan

KUALA LUMPUR 17 Mac – Pakatan pembangkang hari ini memperlihatkan perbezaan pendapat yang ketara apabila kerajaan pimpinan mereka di dua negeri tidak sehaluan berhubung pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Ketika Menteri Besar Perak, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin mahu meneruskan pelan pembangunan kerajaan terdahulu termasuk pelaksanaan DEB, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula bertegas dasar itu tidak perlu dilanjutkan.

Di KUALA KANGSAR, Mohammad Nizar berkata, Kerajaan Negeri Perak yang baru akan meneruskan projek dan pelan pembangunan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini termasuk DEB tetapi ia tidak akan melaksanakan hukum hudud yang pernah diperjuangkan oleh pimpinan Pas di Perak.

Katanya, isu pelaksanaan hukum hudud dan penghapusan DEB tidak timbul sama sekali dalam kerajaan campuran yang diterajui DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

‘‘Hukum hudud tidak timbul di negeri Perak dan kita tidak menghapuskan DEB. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pun tidak menyatakan (menghapuskan DEB).

‘‘Oleh itu, mana-mana dasar yang baik kepada rakyat akan diteruskan.

“Dasar yang ada diskriminasi akan dihentikan kerana kita mahu adil kepada semua kaum termasuk Orang Asli sekalipun,” katanya pada sidang akhbar selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar pagi ini.

Mohammad Nizar berkata, beliau akan memberi tumpuan kepada soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat dengan melaksanakan manifesto yang dikemukakan semasa pilihan raya umum lalu.

Pada sidang akhbar itu yang turut dihadiri Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, Mohammad Nizar berkata, projek-projek dan pelan pembangunan yang dirangka oleh kerajaan BN akan tetap diteruskan.

Di SHAH ALAM, Abdul Khalid pula berkata, DEB tidak perlu dilaksanakan kerana hanya golongan tertentu yang mendapat manfaat daripadanya.

Sambil mengakui beliau antara yang turut mendapat manfaat daripada DEB, Abdul Khalid mendakwa, ketika ini dasar berkenaan hanya mementingkan orang Melayu yang berada dalam lingkungan kepimpinan UMNO serta segelintir kaum Cina dan India yang mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan itu.

‘‘Terdapat pihak tertentu di Selangor mengatakan saya telah melupakan DEB kerana saya adalah antara mereka yang boleh ditonjolkan sebagai menerima rahmat daripada DEB.

‘‘Saya berterima kasih tentang penerimaan itu tetapi terdapat penyelewengan DEB selepas ia dilaksanakan pada 1970-an. Bila sampai 1990-an, kita dapati DEB disalahgunakan.

‘‘Pada saya, apa gunanya satu dasar yang sepatutnya memberi kesan kepada seluruh rakyat tetapi tidak dilaksanakan dengan baik,’’ kata Menteri Besar Selangor itu yang juga Setiausaha Agung PKR.

Abdul Khalid bercakap pada sidang akhbar bersama penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR termasuk calon yang tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 di kediaman rasmi Menteri Besar di Shah Alam.

Beliau yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor Jumaat lalu dilaporkan mendakwa DEB gagal memberi faedah menyeluruh kepada semua kaum di negara ini termasuk orang Melayu.

Baginya, dasar yang diperkenalkan pada 1971 itu dan diteruskan melalui Dasar Pembangunan Nasional (DPN) sekarang tidak memberi kebaikan kepada semua rakyat, tidak telus dan hanya membeza-bezakan kaum.

Ekoran kenyataan itu, Abdul Khalid ditempelak oleh para pemimpin UMNO memandangkan beliau pernah terlibat melaksanakan DEB ketika menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang mengendalikan skim Amanah Saham Nasional (ASN) serta Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Para pemimpin UMNO menegaskan, sebagai individu yang mendapat manfaat daripada DEB, Abdul Khalid tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan itu yang menghina dan tidak menghormati orang Melayu.

Mengulas dakwaan itu, Abdul Khalid berkata, semasa menerajui PNB, beliau melaksanakan DEB secara menyeluruh dengan lebih lima juta orang Melayu mendapat manfaat daripadanya ketika beliau meninggalkan organisasi itu.

‘‘Namun, DEB selepas itu tidak lagi dibuat secara menyeluruh sebaliknya secara terpilih, itu yang menyebabkan saya mencadangkan tidak boleh lagi menggunakan DEB. Ia bukan sahaja mendiskriminasi kaum tetapi mendiskriminasi bangsa Melayu sendiri,’’ katanya.

Mengulas tuduhan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib bahawa beliau umpama ‘kacang lupakan kulit’, wakil rakyat Ijok itu berkata: ‘‘Saya hendak betulkan ‘kacang dan kulitnya’ sekali supaya Selangor yang maju bererti maju untuk semua.’’

P/S : Nampak sangat kenyataan media Utusan bercanggah daripada apa yang dinyatakan oleh MB Selangor. Taib hanya mahu kontroversi dan memburukkan keadaan melalui isu DEB antara Perak dan Selangor. Taib mula nampakkan lemaknya dan seperti mahu menaikkan namanya setelah kemunduran BN selepas PRU 12.

Kenyataan MB Dalam Harakah

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Hrkh) – “Ramai yang menyatakan saya telah lupa tentang DEB kerana saya adalah antara yang menerima ‘rahmat’ daripada DEB. Semasa saya di PNB, saya melaksanakan dasar secara menyeluruh iaitu dasar untuk semua orang-orang Melayu. Saya berterima kasih dengan penerimaan tersebut, tetapi terdapat penyelewengan selepas ia dilaksanakan pada tahun 1970-an.”

Demikian penegasan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai pendiriannya mengenai pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru yang dikatakan akan dihapuskan di bawah pentadbiran DAP di Pulau Pinang.

“Apabila tahun 1990-an, kita dapati DEB telah disalahgunakan yang hanya mementingkan segelintir masyarakat Melayu dan segelintir masyarakat Cina dan India yang mempunyai hubungan dengan Umno,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, hari ini.

Beliau juga mempersoalkan apakah gunanya dasar yang sepatutnya memberi kesan kepada seluruh rakyat tetapi tidak dilaksanakan dengan baik.

Katanya sekurang-kurangnya 53 peratus masyarakat Melayu di Selangor perlu dibangunkan, untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Begitu juga masyarakat Cina yang perlu dibangunkan bagi mengembangkan perniagaan.

Sementara itu, menyentuh mengenai pentadbirannya di Selangor, beliau ingin membawa kemajuan di Selangor untuk semua kaum, bagi membuktikan KeADILan bukan sahaja parti politik yang bergerak secara diplomatik tetapi dapat mentadbir dengan bersih cekap dan amanah.

Jelasnya, Selangor memiliki cukup sumber untuk dinikmati oleh semua bangsa terutama kepada mereka yang memerlukan tetapi ia perlu ditadbir dengan berkesan dan bebas daripada gejala rasuah dan penyelewengan kuasa.

Katanya, Selangor kini menyumbang 35 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan memperoleh pendapatan per kapita setaraf denagn negara maju iaitu AS$10,000 hingga AS$15,000 (US1=RM3.20).

Katanya lagi, orang-orang Melayu akan dibangunkan supaya mereka boleh bersaing bukan sahaja di Selangor tetapi di peringkat antarabangsa. Manakala Masyarakat Cina juga akan dibangunkan supaya mereka dapat mengembangkan perniagaannya untuk meraih peluang daripada kebangkitan China sebagai satu gergasi ekonomi dunia.

Khalid juga berjanji tidak akan mengabaikan golongan setinggan.Beliau juga menekankan, dalam tempoh 10 tahun masyarakat India di Selangor tidak lagi menetap di kawasan estet. Kawasan estet ini juga akan turut dibangunkan agar masyarakat India tidak lagi ketinggalan dalam arus pembangunan di Selangor.

Air secara percuma untuk rakyat Selangor

Dalam pada itu, sewaktu ditanya mengenai pembekalan air secara percuma sebanyak 20 meter padu, beliau menjelaskan akan mengkaji semula perjanjian yang ada di antara kerajaan negeri dengan pemegang konsesi bekalan air di negeri itu.

Katanya, kajian semula itu perlu untuk memastikan janji manifesto Parti Keadilan Rakyat (PKR) dapat dilaksanakan untuk kemudahan penduduk negeri ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tarikh sebenar pelaksanaan program itu berikutan terdapat beberapa perkara membabitkan perjanjian dan rundingan di antara kerajaan negeri dan pemegang konsesi bekalan air.

Katanya perjanjian yang telah dibuat baru-baru ini antara Puncak Niaga Holdings Bhd (PNHB), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan kerajaan Selangor untuk membetulkan loji bekalan air juga menimbulkan tanda tanya.

“Terdapat ketidak seimbangan antara hasil yang diberi kepada negeri dan rakyat dan saya dapati ia memperkayakan orang yang mendapat konsesi iaitu PNHB. Oleh sebab itu saya akan membuat semakan mengenai perkara ini,”katanya.

Bebaskan Selangor daripada rasuah

Sementara itu, Ketua Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang turut serta dalam sidang akhbar tersebut menyatakan Selangor merupakan negeri kedua yang dikunjunginya sebaik sahaja pilihan raya berakhir.

Katanya, beliau menyambut baik hasrat Tan Sri Khalid melaksanakan tugasnya dengan melakukan lawatan di pinggir kota serta kawasan perumahan yang bermasalah.

Jelasnya, bagi memacu pertumbuhan ekonomi di Selangor, tumpuan juga harus menjurus untuk kepentingan rakyat. Selain itu katanya, agenda ekonomi Malaysia menekankan isu pentadbiran yang baik dan cekap serta bertanggungjawab (accountability) dan membebaskan negeri Selangor daripada sebarang bentuk rasuah.

“Kepentingan antara kedudukan politik dengan perniagaan juga harus dipisahkan. Tradisi yang dijalankan oleh pimpinan Umno selama ini juga harus dihentikan. Pemimpin-pemimpin ini jika dilihat kekayaan mereka luar biasa,”katanya.

MB Selangor lawat ke rumah PPRT

Dalam perkembangan lain, sebaik sahaja selesai sidang akhbar tersebut, Tan Sri Khalid dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim melakukan kunjungan ke rumah pangsa PPRT yang didiami bekas penduduk setinggan.

Dalam pertemuan singkat bersama kira-kira 200 orang penduduk itu, beliau menyatakan akan cuba menyelesaikan masalah penempatan yang dihadapi penduduk khususnya penduduk Kg Rimba Jaya yang rumah mereka dirobohkan tahun lepas.

Turut serta dalam pertemuan tersebut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad; Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail serta Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ramlan Othman.