SHAH ALAM 16 Mac – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim disifatkan sebagai kacang lupakan kulit apabila mendakwa Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal memberikan faedah kepada orang Melayu.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, Abdul Khalid sendiri terlibat dalam melaksanakan dasar tersebut ketika beliau menjadi Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) suatu ketika dahulu.

Oleh itu katanya, dakwaan itu tidak berasas kerana DEB telah membuka banyak peluang kepada orang Melayu untuk berjaya setanding dengan kaum lain pada hari ini.

“Beliau (Abdul Khalid) mengatakan DEB tidak memberi faedah kepada orang Melayu, tetapi tidakkah dasar ini telah membawa perubahan kepada orang Melayu untuk keluar daripada putaran ganas kemiskinan melalui pendidikan, ekonomi dan sebagainya.

“Saya hairan bagaimana beliau boleh lupa dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana beliau adalah antara orang yang turut sama merancang dan melaksanakan pembangunan di bawah dasar ini.

“Saya khuatir beliau sudah lupa mengenai perkara itu atau kemungkinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menjadi alat kepada DAP atau pihak-pihak lain untuk kepentingan tertentu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Abdul Khalid dipetik sebagai berkata, DEB gagal memberikan faedah menyeluruh kepada semua kaum di negara termasuk orang Melayu.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, dasar yang diperkenalkan oleh Barisan Nasional (BN) pada tahun 1971 dan diteruskan melalui Dasar Pembangunan Nasional (DPN) sekarang, tidak memberi kebaikan kepada semua rakyat, tidak telus dan hanya membeza-bezakan kaum.

Bagaimanapun, pandangan tersebut amat berbeza dengan sekutu mereka apabila Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali dan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub yang mengakui DEB perlu dikekalkan bagi memastikan ekuiti semua kaum termasuk orang Melayu dalam ekonomi tidak terpinggir.

Dalam pada itu, Muhammad turut mengingatkan supaya PKR tidak menganggap kemenangan mereka pada pilihan raya umum lalu di Selangor sebagai sokongan penuh rakyat terhadap parti itu.

Sebaliknya, sokongan tersebut adalah luahan rakyat yang tidak puas hati terhadap BN ekoran wujudnya masalah-masalah tertentu termasuk di peringkat dalaman BN.

“Kita akan memperbetulkan setiap kesilapan yang berlaku dalam BN dan kita yakin akan mendapat semula sokongan rakyat pada masa depan,’’ katanya.

Sungguhpun begitu, katanya, tumpuan BN terhadap rakyat masih lagi sama dan BN akan berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk kemakmuran semua.

Petikan Utusan

Pesanan Buat Taib.

Mustahil DEP yang dijalankan oleh UMNO selama ini membela nasib org2 melayu. Jgn sangka kami bodoh lagi macam dulu2. DEP sebenarnya untuk kroni2 mereka sahaja. Kes hang pun senyap macam tu aje sampai sekarang. Jgn pulak banyak soal membuat pelbagai isu pemerintahan orang. Perbetulkan hang punya parti dulu, bersih dari gejala rasuah dan penyelewengan dan adil pada rakyat dan semua kaum baru kami sokong. Jalankan hukum2 Allah. Itu paling penting sekali.