TUMPAT: Enam beranak yang kini terpaksa berteduh di sebuah bangsal selepas rumah mereka terbakar dua minggu lalu berharap pihak berkaitan menyegerakan bantuan membina rumah baru di Kampung Tok Malik, Wakaf Bharu, di sini.

Mangsa, Zazuri Ibrahim, 35, berkata dia dan isteri, Wan Habsah Wan Yunus, 32, serta empat anak mereka kini terpaksa menjadikan sebuah bangsal dilitupi plastik dan kain serta bertiangkan buluh sebagai tempat berteduh.

Menurutnya, keadaan kurang sempurna itu menyebabkan anaknya termasuk seorang yang cacat sejak lahir berusia 11 tahun kini terpaksa menjalani kehidupan dalam keadaan kurang selesa.

“Saya terpaksa membina bangsal ini untuk dijadikan tempat berlindung bersama keluarga hasil sumbangan pihak yang bersimpati.

“Walaupun tidak begitu selesa, saya terpaksa berbuat begini dan berharap pihak berkaitan dapat menyediakan rumah baru di tapak asal rumah saya,” katanya, semalam.

Dalam kejadian 2 Mac lalu, keluarga berkenaan tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka hangus dalam kebakaran.

Menurutnya, akibat kebakaran itu, dia juga hilang mata pencarian apabila dua mesin rumput miliknya hangus dan tidak mampu membeli baru bagi mengambil upah memotong rumput seperti yang dilakukan sebelumnya.

Katanya, dia kini bergantung hidup dengan mengambil upah menggunakan khidmat beruk peliharaannya.

“Nasib baik beruk itu tidak mati, kalau tidak mungkin susah untuk saya mendapat kerja ditambah pula saya menghidap asma.

“Pendapatan diperoleh juga tidak seberapa kerana terpaksa menyara dua anak yang bersekolah, Fatin Norasmanira, 12, dan Mohd Azam, 9, yang mengalami masalah pendengaran dan kini belajar di Sekolah Kebangsaan Kutan,” katanya.

Zazuri berkata, walaupun memperoleh wang bantuan RM80 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun masih tidak mencukupi kerana terpaksa membeli lampin pakai buang Norfatihah, 11 yang cacat sejak lahir.

Menurutnya, pada hari kejadian, calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Bharu, Mohd Rosdi Abdul Aziz dan calon Pas yang kini memenangi kerusi itu, Che Abdullah Mat Nawi ada melawat keluarganya.

“Mereka berdua menghulurkan sumbangan RM500 dan berjanji membina rumah baru untuk kami sekeluarga tetapi hingga kini tiada siapa yang menjenguk dan bertanya khabar kami,” katanya.

Sementara itu, Che Abdullah ketika dihubungi berjanji akan mempercepatkan bantuan kepada keluarga berkenaan termasuk membina semula kediaman keluarga itu melalui sumbangan Tabung Serambi Makkah.

“Saya sudah merujuk masalah keluarga Zazuri itu kepada pengurusan tabung berkenaan dan bantuan akan disegerakan,” katanya.

Petikan HMetro 17hb Mac

P/S : Kenapa tidak siarkan dekat Sabah Serawak lagi ramai orang miskin. 50 tahun Merdeka tiada apa perubahan terhadap mereka semasa pemerintahan UMNO. Harap media adil pada semua.