PULAU PINANG: Orang ramai dinasihati supaya tidak menggunakan majlis sambutan Maulidur Rasul pada Khamis ini untuk mengadakan perhimpunan bagi menyatakan bantahan terhadap kerajaan negeri yang baru pimpinan DAP-Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Salleh Mat Rasid berkata polis tidak akan bertolak ansur dan tindakan akan dikenakan terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dalam mana-mana perarakan dan perhimpunan yang dibuat tanpa kebenaran polis.

“Jangan gunakan majlis agama itu untuk tujuan politik. Orang ramai dinasihatkan supaya bertenang dan jangan ambil tindakan sendiri kerana bimbang bakal mencetuskan keadaan yang tidak diingini,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, Sabtu, bagi mengulas pengumuman Setiausaha Perhubungan Umno negeri Datuk Azhar Ibrahim Jumaat lalu bahawa satu perhimpunan akan diadakan Khamis ini di Masjid Negeri pukul 10 pagi.

Azhar yang juga ketua pembangkang berkata perhimpunan itu bagi menyatakan sokongan masyarakat Melayu berhubung memorandum mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang akan diserahkan kepada, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas.

Perhimpunan pada Khamis ini adalah lanjutan daripada perhimpunan yang diadakan semalam di hadapan pintu masuk utama Komtar bagi membantah tindakan kerajaan negeri yang kononnya mahu “membebaskan pentadbiran negeri daripada DEB” dan menuntut hak orang Melayu dikembalikan.

Perhimpunan yang turut dianggotai beberapa bekas Exco kerajaan negeri itu berlangsung hampir sejam bermula pukul 2.30 petang selepas solat Jumaat dan telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk di pusat bandar. BERNAMA

P/S : Lemahnya pemimpin UMNO berperangai seperti orang yang tidak berakal. Hari Maulidurrasul adalah hari yang mulia kerana hari kelahiran junjungan Muhammad s.a.w. Kenapa bertindak tidak melalui akal dan tidak menghormati hari sersebut. Mengapa masih berdegil hendak menganjurkan perhimpunan jalanan lagi. Perkara boleh bawak bincang bukannya cara macam ini. Inikah calon pemimpin UMNO yang dilantik selama ini? Sebagai orang ISLAM bertindaklah mengikut akal dan fikiran. Jangan bertelangah sesama kita. Orang negara lain pandang tak malu ke? PM tidak seharusnya berdiam diri kerana ini akan merosakkan imej negara kita MALAYSIA.