PULAU PINANG 14 Mac – Kira-kira 3,000 anggota pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan penyokong UMNO menyertai perhimpunan aman di sini hari ini bagi membantah tindakan kerajaan negeri pimpinan DAP yang mahu menghapuskan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di negeri ini.

Perhimpunan pada pukul 2.30 petang itu bermula di pekarangan Masjid Simpang Enam berhampiran Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini.

Ia berlangsung selama sejam dan tamat setelah disuraikan oleh Unit Simpanan Persekutuan (FRU) kira-kira pukul 3.30 petang.

Hampir 300 anggota polis berpakaian seragam dan preman ditugaskan mengawal pergerakan orang ramai di situ. Polis merampas beberapa kain pemidang yang dibawa oleh peserta perhimpunan tersebut.

Beberapa pemimpin tertinggi UMNO Pulau Pinang turut serta dalam perhimpunan itu yang pada mulanya dirancang untuk menyerahkan memorandum bantahan berhubung isu DEB kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Antara pemimpin UMNO yang menyertai perhimpunan itu ialah bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Datuk Azhar Ibrahim; ADUN Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin; ADUN Permatang Berangan, Shahbudin Yahya; Ketua UMNO Bahagian Tanjong, Datuk Ahmad Ibni Hajar; Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir serta para pemimpin Pemuda UMNO Pulau Pinang, Wanita UMNO dan Puteri UMNO.

Bagaimanapun, penyerahan memorandum itu terpaksa dibatalkan atas nasihat polis bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Menurut Abdul Rashid, bantahan itu dilakukan bagi memberi amaran kepada DAP agar tidak menjadikan DEB sebagai alasan untuk kerajaan negeri DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyempitkan peluang orang Melayu di Pulau Pinang untuk bersaing dari segi ekonomi.

Beliau berkata, DEB dilaksanakan bagi menjaga hak orang Melayu sekalipun ia katakan tidak berlaku adil kepada kaum lain.

“Kenapa DAP mahu menjadikan isu DEB sebagai senjata untuk mengetepikan orang Melayu sedangkan kerajaan negeri sebelum ini tidak pernah menjadikannya alasan untuk menyisihkan kaum lain di Pulau Pinang?” kata Abdul Rashid kepada pemberita selepas demonstrasi itu berakhir.

Selasa lalu, kerajaan negeri yang baru ditubuhkan hasil gabungan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan ia akan membebaskan pentadbiran Pulau Pinang daripada pelaksanaan amalan DEB.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang mendakwa, DEB menjadi punca kronisme, rasuah dan tidak efisien.

Menurut Abdul Rashid, DAP cuba bermain sentimen dengan orang Melayu apabila ia ‘mengusik’ DEB yang matlamatnya adalah untuk menjaga kepentingan orang Melayu.

Sementara itu, Musa menyifatkan perbuatan pimpinan DAP yang kini menguasai kerajaan negeri Pulau Pinang sungguh biadap.

“DAP sengaja bermain dengan api agar orang Melayu terus ditindas, hak keistimewaan mereka dicabar dan memberi peluang kepada kaum lain bermaharajalela menguasai ekonomi.

“Tindakan DAP itu mengguris perasaan orang Melayu. Saya berharap orang Melayu di Pulau Pinang bersatu membantah pelaksanaan dasar ekonomi versi DAP itu,” katanya.

Ahmad pula mendedahkan DAP cuba mewujudkan garis pemisah antara kaum Melayu dan kaum lain di Pulau Pinang dengan mewujudkan dasar ekonomi mengikut acuan mereka.

Beliau mempertikaikan kenapa DAP cuba memainkan isu DEB sedangkan selama ini dasar itu diterima baik oleh semua masyarakat di negara ini.

“Saya menyeru ahli-ahli UMNO bersatu menyatakan bantahan agar suara orang Melayu didengar oleh DAP,” katanya.

Petikan Utusan 15hb Mac 2008

P/S : Saya betul2 tak faham dengan orang2 UMNO nih. Kenapa sebelum ini tidak ada bantahan kalau Melayu dipinggirkan. Apabila DAP menghapuskan DEB mereka bangkitkan isu perkauman. Samy Vellu sendiri mengakui bahwa DEB memang dah lama dihapuskan dan tidak dijalankan. Hanya pada nama sahaja. Nampaknya BN sengaja menghangatkan isu2 yang tidak sepatutnya dibangkitkan. Mereka lupa, sebelum ini pun orang cina juga yang memerintah P.Pinang. Kenapa diam? Begitu mudah org melayu P.Pinang terpengaruh dengan dakyah UMNO nih.

Satu lagi saya tidak puas hati semasa UMNO buat tunjuk perasaan kenapa tiada tindakan diambil? Apabila Dato Seri Anuar dan Hj Hadi buat tunjuk perasaan BERSIH, mereka kata macam2, tembak air, tembak gas pemedih mata kononnya keganasan. Siapa yang mulakan? Bahkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, Khairi sendiri kata beruk2. Sekarang mereka sendiri yang jadi beruk jalanan. Terbukti mereka sengaja mencari isu. Harap rakyat Malaysia faham dan jangan mudah terpengaruh dengan media dan surat khabar kerana mereka semua bersubahat. Jgn tengok sebelah pihak, cari kebenaran dulu sebelum membuat sesuatu keputusan

Kalau betullah UMNO hendak membela nasib orang2 Melayu, simple ajer, kita sendiri boleh lihat dikawasan kita sendiri, apabila orang kita berniaga ditepi jalan, lorong2 cepat jer nak angkut, samanlah dan macam2 lagi tindakan, tapi kalau orang cina pulak berniaga, tak ada apa pun tindakan diambil. Kenapa? Terang2 mereka penakut dengan kaum lain, berani dengan orang sendiri ajer. Contoh projek besar2 memang bumiputra dapat tapi mereka subkontrak kepada bangsa lain. Kenapa? Orang melayu tidak ada kebijaksanaan ker nak jalankan projek besar2 semua nak harapkan bangsa lain. Sebenarnya orang MELAYU ni memang sudah lama dah dipinggirkan cuma kita sahaja tidak sedar. Bila lagi nak sedar?

Bab AGAMA, kalau saudara pernah dengar ceramah pemimpin UMNO, ada mereka berhujah berdasarkan Al Quran? Ada mereka keluarkan contoh2 hadis nabi untuk rujukan? Terang2 200 Masjid dan surau dirobohkan dinegara kita tak ada pemimpin yang bantah, bila 1 kuil dirobohkan, pemimpin mereka lawan, bantah. Mana pergi pemimpin ISLAM? Mana tandanya ISLAM adalah agama rasmi. Inilah ISLAM HADARI.

Kalau Saudara ada pendapat dan tidak puas hati, sila kemukan untuk tatapan kita bersama. Semoga memberi kesedaran kepada semua umat ISLAM seluruhnya.