KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dipercayai hilang selepas bermain bersama rakannya di taman permainan berhampiran rumahnya di Jalan Pantai Permai 4, Pantai Dalam, di sini, sejak Ahad lalu.

Ahmad Asmawi Jalaludin, dikatakan hilang selepas berpisah dengan rakannya di satu persimpangan kira-kira 50 meter dari rumahnya kira-kira jam 6.30 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Azri Abdul Rahman, berkata ibu pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan La Salle, di sini, kemudian cuba mencarinya di kawasan sekitar namun gagal.

“Selepas hampir 24 jam tidak menemui kanak-kanak itu, ibunya membuat laporan di Balai Polis Kerinchi di sini.

“Siasatan kita mendapati Ahmad Asmawi kali terakhir dilihat di sebuah pusat permainan video di pusat beli-belah Mid Valley Megamall kira-kira jam 3.30 petang semalam (kelmarin),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini, semalam.

Beliau berkata, seorang rakan mangsa mendakwa terserempak dengan Ahmad Asmawi berseorangan di kawasan terbabit dan polis segera berkejar ke tempat itu sebaik menerima maklumat, namun gagal menemuinya.

Berikutan itu, polis petang semalam memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekitar kawasan pusat permainan video yang didakwa dikunjungi Ahmad Asmawi itu.

Azri berkata, abang kanak-kanak itu serta rakan yang bersamanya sebelum dia dilaporkan hilang dibawa untuk membuat pengecaman rakaman berkenaan tetapi mereka tidak dapat mengecamnya.

“Justeru, kita akan panggil rakan Ahmad Asmawi yang mendakwa terserempak dengannya berhampiran pusat permainan video itu untuk membuat pengecaman sekali lagi,” katanya kepada pemberita yang mengikuti pasukan polis mencari kanak-kanak terbabit di sekitar pusat beli-belah Mid Valley, di sini, petang semalam.

Sementara itu, Azri berkata polis mengenal pasti seorang lelaki yang cuba mengugut keluarga mangsa dan meminta wang tebusan RM5,000 dengan mendakwa Ahmad Asmawi berada bersamanya.

“Kakak kanak-kanak itu, Saodah Jalaludin, 30, menerima SMS daripada seorang individu meminta wang tebusan RM5,000 jika mahukan adiknya semula pada jam 1.40 petang semalam (kelmarin).

“Kita sudah mengenal pasti identiti penghantar SMS itu dan sedang menjejakinya,” katanya.

Sementara itu, ibu kanak-kanak berkenaan, Rozita Abu Hassan, 50, berkata Ahmad Asmawi yang lebih dikenali sebagai Awi itu tidak pernah keluar dari rumah tanpa memberitahunya terlebih dulu.

“Ini kali pertama Awi hilang. Saya sangat risaukan keadaannya dan bimbang jika kejadian yang menimpa Nurin (Jazlin Jazimin, 8) dan Sharlinie berlaku ke atas Awi.

“Walaupun Awi lelaki, saya tetap risau jika kejadian itu menimpanya,” katanya sebak.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Ahmad Asmawi diminta menghubungi IPD Brickfields di talian 03-22744465 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Petikan BH

P/S : Harap2 Asmawi dapat dijumpai dengan segera. Malaysia kini makin bahaya dengan penculikan kanak2 yang berleluasa sekarang.