ALOR STAR, 13 Mac (Hrkh) – Kerajaan Kedah tidak menolak Dasar Ekonomi Baru (DEB) secara total, bagaimanapun akan melalui beberapa perbincangan khusus sebelum menentukan dasar kewangan negeri yang boleh memberi manafaat kepada semua pihak. Menteri Besar Kedah, Ustaz Haji Azizan Abdul Razak berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dan pihak yang terbabit sebelum mengeluarkan satu garis panduan mengenai dasar kewangan.

Manakala dalam perlaksanaan NCER, beliau akan berjumpa Perdana Menteri selaku Pengerusi NCER bagi memperhalusi mengenainya.

Walau bagaimanapun katanya, sehingga kini Kedah belum melaksanakan apa-apa projek dalam konteks NCER.

“Ini baru peringkat meminang, belum laksanakan apa-apa lagi, kita tengoklah nanti macam mana,” jelas beliau kepada wartawan selepas Mesyuarat Exco kali pertama di Wisma Darul Aman kelmarin.

Selain itu, Azizan juga menjelaskan kerajaan negeri akan menghadkan jumlah gaji para Exco yang disifatkannya terlalu tinggi.

Dalam pada itu beliau menasihatkan para pelabur asing di Kulim agar tidak terpengaruh dengan laporan yang mengatakan terdapat masalah mengenai masa depan prospek perniagaan mereka setelah kerajaan negeri beralih tampuk pemerintahan setelah BN tumbang.

Beliau yang ditemani Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, Kedah akan berusaha menambah jumlah pelabur asing dan bersedia berjumpa dengan mereka untuk berbincang bagi memajukan Kulim High-Tech Park serta beberapa projek yang lain.

“Kita tidak ada masalah dengan pelabur, saya bukan anti pembangunan, PAS tidak anti pembangunan, kita nak tarik lebih ramai pelabur, jangan dengan khabar angin, jumpa terus dengan pihak kerajaan, datang jumpa saya untuk kita bincang, jelas beliau.

P/S : DEB patut dilaksanakan di semua negeri Barisan Alternatif. Semoga pemerintahan baru dapat melaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan prihatin kepada rakyat.