BANGKOK 12 Mac – Kira-kira 800 penduduk Islam Thailand mengadakan demonstrasi di luar Kedutaan Denmark di sini hari ini bagi membantah tindakan akhbar negara itu menerbitkan semula karikatur yang menghina Islam.

Penunjuk perasaan yang menggelar diri mereka sebagai Kumpulan Keamanan Muslim, mengadakan tunjuk perasaan secara aman selama kira-kira dua jam dan meminta masyarakat Islam Thailand memboikot produk keluaran Denmark.

Kumpulan itu turut mengutuk “tindakan jahat” akhbar terbabit dan mengkritik kerajaan Denmark kerana gagal menghalang penerbitan semula karikatur berkenaan.

Sebuah akhbar Denmark pada bulan lalu menerbitkan semula salah satu daripada karikatur berkenaan, setelah pihak polis negara itu mendakwa mereka mengesan satu rancangan untuk membunuh pelukis karikatur tersebut berikutan bantahan daripada negara-negara Islam pada 2006.

Karikatur Nabi Muhammad S.A.W yang memakai serban berbentuk bom itu mencetuskan bantahan besar-besaran umat Islam seluruh dunia.

Akhbar Denmark sebaliknya mendakwa, tindakan menerbitkan semula karikatur itu bertujuan menggalakkan kebebasan bersuara.

Islam melarang penerbitan seperti itu kerana bimbang boleh menyebabkan unsur pemujaan.

Petikan dari Utusan 13hb March 2008

P/S : Dimanakah perginya pemimpin ISLAM Malaysia ketika ini? Thailand boleh mengadakan tunjuk perasaan aman kenapa kita tidak boleh? Ini terang2 bahwa ISLAM dihina lagi. Dimana kekuatan OIC yang dibanggakan?  Kalau saudara semua orang ISLAM tak sedih ker bila orang kafir hina ISLAM dan Nabi yang paling kita kasihi sedemikian?