Petikan Dari Bernama 

KUALA LUMPUR 12 Mac – Kerajaan negeri yang dikuasai Pas tidak akan menjadikan pembentukan negara Islam secara menyeluruh, termasuk melaksanakan hukum hudud, sebagai keutamaan walaupun ia merupakan teras perjuangan parti itu.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tumpuan utama Pas kini ialah merealisasikan manifesto pilihan raya parti itu yang bertemakan negara kebajikan yang merupakan dasar terbaik yang boleh diterima oleh semua kaum.

Beliau berkata, pihaknya menganggap matlamat mewujudkan negara Islam sudah difahami oleh semua rakyat kerana ia telah lama diperjuangkan parti itu dan tidak perlu lagi ditonjolkan.

‘‘Laporan media yang memetik saya menyatakan sistem perundangan jenayah hudud akan dilaksanakan serta-merta di Kedah adalah tidak betul.

‘‘Kita sudah perintah Kelantan 18 tahun tetapi belum laksana (hudud) dan Terengganu pun semasa kita memerintah, berapa orang yang sudah kena kerat tangan,’’ soalnya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di sini hari ini.

Bukan Islam

Menurut beliau, perubahan pendekatan itu adalah ekoran Pas menerima hakikat bahawa kemenangan yang membanggakan dalam pilihan raya umum lalu turut berpunca daripada sokongan bukan Islam.

‘‘Sebagai contoh, di Parlimen Kota Raja hanya 47 peratus orang Islam, tetapi calon kita, Dr. Siti Mariah Mahmud telah mencapai kemenangan dengan majoriti yang besar,’’ ujarnya.

Ditanya adakah sikap lebih terbuka Pas itu bermakna parti tersebut akan mengadakan kerjasama erat dengan DAP, beliau berkata, pihaknya akan terus dengan pendirian tiada kerjasama rasmi antara kedua-dua parti.

‘‘Kerjasama rasmi kita ialah dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dalam masa sama kita menerima hubungan PKR dengan DAP,’’ jelasnya.

Mengenai kenyataan Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abd. Samad semalam yang tidak menolak kemungkinan Barisan Nasional (BN) dan Pas bekerjasama semula, Abdul Hadi menegaskan:

‘‘Tidak ada orang hubungi saya, sehingga ini tidak ada masa hendak bincang, minat pun tidak ada lagi.’’

P/S :

  • Dulu Tn Guru sudah menyatakan hasrat untuk melaksanakan hudud tetapi dibantah keras oleh kerajaan pusat. Jangan pula hendak mengajar orang lain mengenai hal2 agama.
  • Pelbagai dakyah BN untuk merosakkan pemikiran rakyat mengenai kerjasama antara parti. Pas ialah parti islam yang menerima perubahan untuk membawa kebaikan dan menolak kemungkaran. Harap rakyat semua dapat mempertimbangkan yang mana baik dan yang mana buruk.