PETALING JAYA 11 Mac – Ketua Wanita MCA, Datuk Dr. Ng Yen Yen berkata, UMNO mesti bangkit menghadapi kenyataan bahawa orang Melayu kini sudah mula menyokong DAP, sebuah parti yang sebelum ini diketepikan mereka, sebagaimana yang ditunjukkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 Sabtu lepas.

Beliau berkata, kaum Melayu, di sebalik mendapat faedah daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN), telah memberi sokongan kepada pembangkang termasuk DAP pada pilihan raya umum seperti yang dilihat dalam banyak kerusi yang dimenangi parti pembangkang.

Berikutan itu, katanya, DEB sendiri bukanlah satu faktor yang dapat memastikan sokongan kepada BN pada masa depan kerana masyarakat Melayu turut mengambil kira isu-isu seperti tadbir urus baik, akauntabiliti dan ketelusan dalam membuat keputusan semasa pilihan raya.

Yen Yen berkata, mungkin sudah tiba masanya untuk satu model baru DEB digubal demi manfaat semua kaum.

“Dunia sudah berubah… secara politiknya rakyat tidak mahu menunggu terlalu lama untuk berubah,” katanya dalam satu forum pilihan raya yang diadakan di Menara Star di sini hari ini.

Yen Yen berkata, ahli-ahli politik di negara ini mesti bercakap bagi semua rakyat Malaysia dan mengenai kepentingan semua pihak, dan bukan hanya satu kaum.

Pengarah Eksekutif Yayasan Strategik Sosial (YSS), Datuk Dr. Denison Jayasooria pula berkata, banyak analisis telah memutarbelitkan fakta bahawa kejayaan parti pembangkang dalam pilihan raya adalah disebabkan undi kaum Cina dan India, tetapi hakikatnya kejayaan itu tidak mungkin berlaku jika bukan kerana perubahan pengundi Melayu.

Mengenai kaum India Malaysia, beliau berkata, mereka telah mengundi bagi suara yang lantang di Parlimen dan bukannya satu perwakilan yang kuat dalam kerajaan, sesuatu yang dibuktikan dengan 11 wakil kaum India daripada pembangkang.

Menurut Denison, pembaharuan tidak mungkin berlaku dalam MIC tanpa pembaharuan keseluruhan dalam parti memerintah BN.

Petikan Bernama

P/S : Kenapa orang melayu sokong DAP ? Dari sini kita boleh lihat orang yang menyokong DAP adalah orang-orang BN sendiri kerana mereka tahu akan kebenaran dan sandiwara pemimpin mereka yang putar alam. Hal ini pun pemimpin BN tidak boleh fikir ke?