Pengerusi BN Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh hari ini jelas berasa tidak senang untuk mengulas isu pelantikan semulanya sebagai Menteri Besar.

Idris, yang kelihatan terganggu apabila terus ditanya persoalan tersebut, terus menjawab “(awak) faham ke tak? Saya kata (pelantikan MB) itu atas istana (tentukan). Saya tidak perlu jawab soalan tersebut.”

Menurut Bernama, sebelum itu Idris diminta mengulas spekulasi bahawa beliau mungkin tidak dapat meneruskan khidmatnya sebagai Menteri Besar akibat ura-ura ditolak oleh pihak istana.

Beliau berkata “tak apalah (mengenai spekulasi itu).

“Saya kata itu (kedudukan jawatan Menteri Besar) atas istana (yang tentukan), saya tidak perlu jawab soalan tersebut.”

Sementara laman web Utusan Malaysia pula melaporkan, Idris enggan mengulas persoalan sama ada beliau dipilih semula atau tidak.

Laporan itu turut menyebut “Idris kelihatan sugul” dan berkata tarikh majlis angkat sumpah menteri besar Terengganu ditetapkan istana.

“Saya tidak boleh menjawab kerana ia melibatkan istana, jadi tidak wajar saya menjawab soalan tersebut,” beliau dipetik Utusan sebagai berkata hari ini.

Di Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur kini khabar bertiup kencang beliau mungkin ditamatkan perkhidmatannya.

Laporan media hari ini menyebut kira-kira 3,000 penyokongnya berkumpul menunggunya di lapangan terbang Kuala Terengganu semalam selepas muncul desas-desus istana menolak pelantikan bagi penggal kedua.

Idris, yang memegang jawatan itu pada 2004 susulan kejayaan BN merampas Terengganu daripada PAS, dikhabarkan akan digantikan dengan salah seorang pemimpin kanan Umno negeri.

Desas-desus itu mula berkembang selepas istiadat melafaz surat pengisytiharan pelantikan Menteri Besar yang dijadual di Istana Maziah pagi semalam dibatalkan.

Setiausaha badan perhubungan Umno negeri Datuk Rosol Wahid dilaporkan berkata penangguhan itu kerana Idris masih berada di Kuala Lumpur untuk “mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri hari ini (Isnin) untuk membawa arahan-arahan daripada Abdullah untuk pentadbiran di negeri ini.”

Kira-kira 100 orang termasuk wakil rakyat BN dilaporkan hadir pada majlis angkat sumpah itu, antaranya Datuk Ahmad Said (DUN Kijal), Ramlan Ali (DUN Jabi), Mohd. Zawawi Ismail (DUN Telemung) dan Datuk Din Adam (DUN Bukit Besi).

P/S : Lihatlah betapa angkuhnya Ideris kepada Sultan Terengganu.