KOTA BHARU, 11 Mac (Hrkh) – Adun Paroi (Negeri Sembilan) yang baru, Mohd Taufek Abdul Ghani yang mewakili PAS dalam Dun Negeri Sembilan berjanjia akan memotong sejumlah 50 peratus gaji yang diterimanya sebagai Adun untuk kebajikan rakyat Paroi.

Menurut Mohd Taufek, wang itu akan dipotong setiap bulan untuk dimasukkan ke dalam Tabung Rakyat Paroi semata-mata untuk melihat rakyat dalam Dun Paroi yang susah menerima bantuan.

Namun beliau juga akur dengan keadaan bahawa beliau satu-satunya wakil PAS di Negeri Sembilan, dan menghadapi kesulitan bergerak kerana bantuan mungkin tidak akan dapat diperolehi daripada kerajaan BN yang memerintah.

Semasa dihubungi Harakahdaily pagi tadi, suara Mohd Taufek agak terketar-ketar dan mungkin kerana agak tidak percaya dengan kemenangan beliau menewaskan calon BN.

Dalam nada sederhana, Mohd Taufek yang juga bekas Jurutera Kanan Samsung Sdn Bhd menyifatkan kemenangan beliau ini adalah hasil usaha jentera PAS yang dikuatkan dengan bantuan Ngo seperti Jim dan Kelab Penyokong PAS Negeri Sembilan.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Biokimia dari UKM ini berhasrat membuka Pusat Khidmat Rakyat selain menginfakkan 50 peratus dari gaji yang bakal diterimanya selaku Wakil Rakyat Paroi ke dalam Tabung Rakyat Paroi.

Pusat Khidmat antara lain mungkin akan ditempatkan di Dataran Senawang untuk memudahkan masyarakat bertemu dengannya, kata Mohd Taufek yang mempunyai empat orang anak dan menetap dalam Dun Paroi hampir 15 tahun lamanya.

“Saya tahu agak sukar menjadi pembangkang ini dengan bantuan sudah pasti tiada dari kerajaan BN, namun saya yakin dengan kerjasama parti, rakan-rakan, petugas PAS, nasib rakyat Paroi akan diutamakan, justeru itu saya akan infakkan pendapatan saya sebagai Adun sebanyak 50 peratus untuk tabung yang ditubuhkan,” katanya ikhlas.

Suami kepada Mahani Musa (seorang guru) ini akan menjafikan kepercayaan rakyat Paroi asas kepada ketekunan untuk membela nasib rakyat paroi antaranya isu pekerja, isu kebajikan, isu keselamatan dan perumahan di sini.

Beliau juga telah bertemu dengan wakil-wakil Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) untuk membincangkan sebarang bentuk persefahaman dalam Dun kerana KeADILan mempunyai dua wakil di Dun bersama 11 lagi dari DAP.

Mohd Taufek adalah Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan selain pernah menjadi Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Pusat.Beliau cukup aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan.

Beliau melakar sejarah PAS Negeri Sembilan apabila buat pertama kalinya PAS menang dalam Pilihan Raya Umum bagi melahirkan anak sulong PAS ke majlis mesyuarat Dun Negeri Sembilan.

P/S Syabas kepada adun pas, semoga Allah memberkati beliau.