Keseluruhan kaunter-kaunter saham di Bursa Malaysia terpaksa digantung urus niaga untuk tempoh sejam hari ini bermula pada pukul 2.58 petang ini ekoran kejatuhan teruk pasaran saham.

Indeks Komposit Kuala Lumpur susut lebih 10 peratus tidak sampai satu hari dan buat pertama kalinya setelah diperkenalkan 10 tahun lalu ‘Penampan Kejatuhan’ ini terpaksa dilaksanakan oleh Bursa Malaysia.

Pasaran saham tempatan menjunam hampir 100 mata tengah hari ini ekoran kegusaran dan kekeliruan di kalangan pelabur berhubung arah tuju dasar pembangunan ekonomi dan kewangan berikutan kemenangan tipis Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-12 pada Sabtu lalu.

Sebelum digantung urus niaga, IKKL merekod kejatuhan sebanyak 130.01 mata atau 10.03 peratus untuk berada di paras 1,162.32 mata.

Boleh jadi juga secara kebetulan perkara ini terjadi sebaik saja Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengangkat sumpah jawatan dan sumpah menyimpan rahsia sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dua hari selepas Barisan Nasional kembali berkuasa setelah memenangi pilihan raya umum Sabtu lepas dengan hanya mendapat 140 kerusi Parlimen berbanding pakatan pembangkang yang mendapat 82 kerusi.

Persoalannya sekarang Pak Lah yang diasak oleh sesetengah pihak untuk meletakkan jawatan kini berhadapan tugas berat untuk melaksanakan segala janji yang terkandung dalam manifesto BN setelah beliau ‘berani untuk kekal berkuasa’.

Kini sampai masanya untuk Pak Lah dan Barisan Nasional bermuhasabah diri untuk menilai semula prestasi mereka yang sangat teruk dalam sejarah pilihanraya negara.

Biarpun pakatan pembangkang tidak berjaya menang majoriti di Parlimen tetapi suara mereka yang cukup ramai kali ini pastinya akan membuatkan Barisan Nasional tidak selesa dan lemas kepanasan dalam melaksanakan agenda pembangunan negara mengikut acuan mereka.

InsyaAllah negara ini akan terus makmur sekiranya ditadbir dengan taqwa dan amanah dari pemimpin. Malaysiaku yang tercinta…

Syukur kepadamu Ya Allah, kerana memberikan kami peluang membetulkan kesilapan pemimpin kami….

Ihsan dari pasjohor