Petikan dari bernama. 
KOTA BAHRU 9 Mac – Kepimpinan Pas Pusat berhasrat untuk melaksanakan sistem perundangan jenayah hudud di Kedah untuk dijadikan sebagai undang- undang negeri, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, perundangan yang akan dilaksanakan itu adalah mengikut Enakmen Undang-undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) 2002 yang dicadangkan dikuatkuasakan di Kelantan.

“Kita akan laksanakan dalam kemampuan bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Pas Pusat di sini hari ini.

Hari ini, Pesuruhjaya Pas Kedah, Azizan Abdul Razak menerima watikah pelantikan sebagai Menteri Besar Kedah yang baru daripada Sultan Kedah selepas pakatan pembangkang memenangi 21 kerusi daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya umum semalam.

Pas meraih 16 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) (empat) dan DAP (satu) berbanding Barisan Nasional (BN) yang hanya memenangi 14 kerusi. Satu lagi kerusi dimenangi calon Bebas.

Bagi 15 kerusi Parlimen di Kedah, Pas memenangi enam kerusi, PKR (lima) dengan BN (empat).

Cadangan pelaksanaan perundangan hudud di Kelantan sebelum ini telah mencetuskan bantahan dan kontroversi kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sehingga kini kerajaan Pas Kelantan hanya mampu meluluskan undang-undang sebagai undang-undang negeri tetapi dalam aspek pelaksanaan dan penguatkuasaan ia tidak berjalan.

Hadi berkata, Pas perlu menguasai dua pertiga kerusi DUN bagi membolehkan undang-undang itu diluluskan di Dewan Undangan Negeri.

Ketika ditanya mengenai sama ada kerajaan negeri Kedah akan mengharamkan pusat hiburan yang berbaur maksiat termasuk penjualan arak, disko dan pusat perjudian, beliau berkata, Pas akan mengadakan perbincangan dengan sekutunya DAP dan PKR mengenai perkara bersangkut dengan amalan agama dan budaya kaum bukan Islam serta penerimaannya.

Hadi juga berkata, Pas Pusat turut bersetuju untuk meminta kerajaan negeri Kedah supaya melantik dua Exco bukan Islam bagi menjaga kebajikan dan kepentingan orang bukan Islam di negeri itu.

Selain itu katanya, pakatan pembangkang juga akan bekerjasama dengan kerajaan Pusat dalam rancangan pembangunan yang telah dirancang seperti Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Kita akan sokong apa yang baik untuk rakyat termasuk rancangan pembangunan dan kita akan tolak perkara yang negatif untuk rakyat,” katanya.

 

P/S Laksanakan hukum hudud kerana itu adalah satu kewajipan kepada setiap umat islam untuk ditaati. Sesungguhnya ianya sudah terkandung di dalam Al Quranulqarim.