Sukar untuk kita samapi ke tempat yang dituju kalau kita tidak tahu arah dan jalannya. Lama lagi kita berjalan dan lagi lagi kita berjalan nescaya lagi jauh kita tersasar dari destinasi yang dituju. Oleh itu, dalam perjalanan, adalah baiknya kalau kita dapat berhenti seketika, melihat arah dari mana kita datang, menetapkan di mana kita sekarang dan mencari arah yang betul dan jalan sebenar untuk sampai ke destinasi yang kita tuju. Jika perlu, kita ubah haluan. Jika mampu kita percepatkan perjalanan. Ini penting dalam perjalanan di dunia. Ia lebih-lebih lagi penting dalam hendak menuju destinasi Akhirat.

Sudah sekian lama kita mengamalkan Islam, tetapi nampaknya semakin lama hidup kita semakin kucar-kacir. Masyarakat kita semakin lintang-pukang. Jenayah dan kemungkaran semakinmerebak dan menjadi-jadi. Maksiat dan kelakuan sumbang berlaku di depan mata. Muda-mudi sudah tidak malu dan tidak bermoral lagi. Pemimpin kurang bertanggungjawab. Banyak masa dan tenaga digunakan bukan untuk rakyat tetapi untuk kepentingan diri dan untuk mengekalkan kuasa dan jawatan. Kasih sayang sudah hilang. Perpaduan sudah runtuh. Akhlak sudah punah-ranah. Apa sebab kita masih belum hancur, kita pun tidak tahu. Kalau ikut logiknya, sudah lama kita berperang sesama sendiri. Sudah lama kita berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Tetapi mungkin kita masih ada harapan. Mungkin Tuhan masih memberi kita peluang.

Ini bermakna kita perlu buat perubahan. Kita perlu lihat kepada Islam kita. Adakah Islam kita ini ikut apa yang kita mahu atau ikut apa yang Tuhan dan Rasul mahu? Jelaslah bahawa Islam kita belum sampai ke tahap yang Tuhan dan Rasul mahu. Itu sebabnya kita diberi ingat dengan berbagai-bagai gejala, masalah dan kesusahan. Adakah kita mahu memahami dan mengambil iktibar. Adakah kita mahu menukar haluan dan membuat perubahan supaya kita kembali tertuju kepada Tuhan.

Dalam amalan Islam kita sekarang nampaknya macam semuanya ada. Seperti semuanya lengkap. Namun ada perkara yan sangat ketara yang wujud di zaman Rasulullah dan para salafussoleh tetapi tidak ada dalam Islam kita hari ini. Iaitu persoalan taqwa. Baik ilmunya, penghayatan dan penjiwaannya. Kalaupun kita ada sebut taqwa sekali-sekala tetapi fahamannya jauh tersimpang dari maksud yang sebenar. Hakikatnya kita tidak ada taqwa.

Walhal taqwalah sumber kekuatan umat Islam. Sebab taqwalah umat Islam dibantu, dibela dan dilindungi oleh Allah. Sebab taqwalah umat Islam diberi kejayaan dan kemenangan. Inilah modal yang tidak ada pada kita hari ini. Itu sebab kita lemah, berpecah belah dan tidak dibantu.Kita datang lagi ke tengah masyarakat untuk memperkatakan tentang taqwa. Memperkatakan tentang perkara yang telah hilang dari kita. Untuk mempromosikan taqwa sebagai modal supaya kita boleh maju dan membangun. Untuk membina kekuatan jiwa dan rohani. Untuk memperkasakan diri, bangsa dan negara. Untuk mengungkai ikatan-ikatan dan belenggu yang mengikat dan menghalang kita selama ini. Supaya kita terlepas dan bebas dari segala ancaman, ugutan dan tekanan. Supaya kita benar-benar merdeka yakni terlepas dari ikatan makhluk dan terikat hanya dengan Tuhan. Yakinlah kita boleh jadi kuat, sekuat mana kita dapat hubungkan hati kita dengan Tuhan.

Suasana hidup sekarang tidak bahagia, alangkah seksanya jika kita hidup berjiran jiran tidak bertegur sapa, bahkan curiga-mencurigai pula, di tempat bekerja tidak seia sekata, hasad dengki jadi budaya, prejudis satu sama lain, percaya-mempercayai hilang sesama manusia. Di dalam keluarga kasih sayang tiada, anak-anak dan isteri tidak mengikut kata suami sudah tidak ada wibawa, isteri tidak setia. Hidup di dalam masyarakat nafsi-nafsi, susah tanggung sendiri bertemu hanya terpaksa, bukan dari hati kerana fikiran tidak selari. Sekiranya tidak bergaul, kita tidak mungkin boleh hidup sendiri-sendiri. Bergaul pula, aduh sungguh terseksa, rasa bersama sudah tidak ada.

Begitulah di dalam satu masyarakat manusia yang memburu dunia ukhwah tidak ada, Tuhan sudah dilupa, dunia adalah matlamat manusia. Sungguh sepi hidup begini di dunia hari ini tidak ada ceria, tidak ada gembira, tidak ada mesra. Sepi di dalam ramai, berserabut fikiran di waktu bersendirian kecuali orang yang beriman, rasa bertuhan hidup di hati terasa ramai sekalipun keseorangan atau waktu bersendiri. Rasa bertuhan yang menghidupkan hati itulah hiburan orang mukmin, hatinya sentiasa tenang sekalipun di dalam kesusahan susah lahirnya, batinnya tenang, begitulah hati orang mukmin, hiburannya di dalam hatinya.