Hasil pendapatan melalui usaha tipu adalah haram

Zain el-Din Hashim
Sat | Feb 23, 08 | 4:35:35 pm MYT
Tiga hari sebelum penamaan calon berlangsung, pihak SPR diketuai Tan Sri Abdul Rashid telah memperkenal satu peraturan baru yang dikuatkuasakan pada saat-saat akhir hari penamaan calon dan ia didapati boleh menimbulkan kekecohan pada hari penamaan calon, kata Pengerusi Lajnah Guaman dan Undang-Undang PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin.Ini ekoran arahan yang diterima daripada SPR pada Khamis 21 Februari lalu agar Surat Akuan Berkanun, Borang 5 (bagi Parlimen) dan 5A (bagi Dewan Undangan Negeri) perlu disertakan dengan stem duti.

Arahan yang dikeluarkan tiga hari sebelum hari penamaan calon ini bagaimanapun dipatuhi oleh calon-calon bertanding walaupun notis yang diberikan singkat.

Persoalannya di sini, adakah ia satu tindakan yang cuba menghalang calon-calon yang bertanding ataupun taktik untuk memenangkan pihak tertentu?

Jika ia bertujuan demikian, maka kita ketengahkan beberapa soalan seperti di bawah ini dan ia dijawab oleh Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulamak Rantau Asia (SHURA), Ustaz Haji Abdul Ghani Samsuddin:-

1 Bagaimana dengan hasil pendapatan Ahli Parlimen dan Adun yang menang hasil dari penipuan dalam pilihan raya?

2 Bagaimana pula dengan ahli keluarga mereka yang terpalit sama makan dari hasil tersebut?

3 Adakah mereka termasuk dalam amaran baginda Rasulullah s.a.w menerusi hadis kesepuluh kitab Hadis 40 Imam Nawawi, iaitu permohonan mereka tidak diterima Allah?

4 Begitu juga dengan para pegawai Suruhan Jaya Pilihan Raya yang menolong individu tertentu hingga menang dengan cara menipu.

Jawapan

Allah telah berfirman dalam surah al Nahli ayat :114:

Makanlah rezki Allah secara halal dan baik. Bersyukurlah terhadap nikmat Allah seandainya kalian benar-benar menyembah (mematuhi) Nya.

Dalam Surah al Baqarah ayat 188 Allah berfirman lagi: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya).

Rasulullah bersabda : “Sesungguhnya Allah mengagihkan perwatakan dan akhlak kamu persis sepertimana dia mengagihkan kepada kamu habuan rezki. Allah mengurniakan (nikmat) duniawi ini kepada siapa sahaja; sama ada orang yang Dia suka atau tidak suka. Namun kurniaan (pegangan dan iltizam ) agama (habuan baik ukhrawi) hanya diberikan kepada orang yang Dia suka. Sesiapa yang dikurniakan dengan nikmat berpegang (beramal) dengan agama maka itu bermakna Allah telah menyayanginya. Akan tetapi ingatlah; demi Allah yang nyawaku di tangannya, seseorang itu tidak akan menjadi muslim sehinggalah hati dan lidahnya ikut menjadi muslim. Tidak menjadi mu’min sehinggalah jirannya terselamat dari gangguan karenah kejahatannya. Sahabat bertanya: apakah maksud kejahatan berkenaan. Baginda menjawab; keganasan dan kekasarannya. Jika ada sesiapayang meraih rezki haram kemudian dia menghulurkan rezki itu sebagai sedekah (kepada orang lain) maka Allah tidak akan sudi menerima (amalannya) itu. Jika ia membelanjakan harta tersebut ia tidak akan mendapat barakahnya. Jika dia meninggalkan harta itu sebagai harta warisan (anak cucu) maka harta berkenaan hanya akan menjadi bekalannya ke (jurang) neraka. Allah tidak akan menghapuskan kejahatan (keburukan ) dengan perbuatan kejahatan. Tapi Allah melupuskan kejahatan (keburukan) dengan amalan kebajikan (kebaikan). Keburukan atau al Khabith tidak dapat menghapus dan melupuskan keburukan.

Rasulullah menegaskan:

Setiap “Lahm” (mana-mana daging anggota tubuh manusia) yang membesar kerana memakan al saht (makanan atau benda haram) maka neraka adalah tempat yang wajar baginya.

Baginda menyatakan lagi:

Sesiapa yang menipu kita maka ia bukan daripada golongan kita (golongan Mu’minin)

Ayat dan hadith di atas mewajibkan umat Islam memastikan sumber rezki mereka hendaklah dari saluran, sumber atau usaha yang diakui halal oleh Allah. Sumber rezki halal ialah yang diperolehi secara benar, sah, selaras dengan tuntutan dan norma syara’. Perincian tentang rezki halal dan haram ini telah dikupas oleh ramai para alim ulamak zaman dulu dan kini. Oleh itu setiap rezki yang diperolehi secara tipu daya; walau apapun bentuknya maka ia tetap rezki haram yang mewajibkan pemakannya masuk ke neraka.

Rasulullah bersabda:

“Tiga orang Allah tidak akan bertutur kata dengannya pada hari kiamat. Allah tidak sudi memandangnya. Allah tidak akan membersihkan dirinya daripada dosa. Baginya disediakan azab yang sangat pedih (baginda menyebutnya tiga kali). Abu Zar lantas menyampuk: Mereka pasti kecewa dan rugi, tapi siapakah mereka itu? Baginda menjawab: “Orang menunjuk-nunjuk kaya dengan memanjang atau melabuhkan pakaiannya (mengheret pasir), mengungkit-ngungkit pemberian dan orang yang melariskan barang jualannya dengan sumpah dan penipuan.”

Penjawat jawatan awam tidak boleh berlaku curang dalam membelanjakan harta awam dengan meraih komisyen berjuta-juta ringgit memangsakan dana rakyat untuk mengambil harta awam untuk kepentingan diri atau kelompok politik sempitnya. Mereka dilarang berniaga atau menerima pemberian yang bermuslihat. Sebab perbuatan seperti itu dianggap khianat oleh syara’.

Dalam konteks pemerintahan Rasulullah juga mengingatkan:

Apabila Allah menghimpunkan manusia zaman dahulu dan zaman terakhir pada hari kiamat kelak, maka ketika itu akan dipancang dan dinaikkan untuk setiap pengkhianat panji-panji khusus sebagai ikon pengenalannnya sehingga di sebut-sebut: ini banner pengkhianatan si-pulan dan si-pulan.

Sistem peralihan kuasa dalam sesebuah negara mesti digubal sejajar dengan kaedah kejujuran, keadilan dan kebersihan. Ini untuk memastikan para pemimpin politik diangkat menjadi pemimpin berdasarkan merit, kebolehan, kemahuan rakyat yang jujur dan benar. Sistem syura atau apa yang hampir kepadanya seperti sistem demokrasi yang murni perlu dilaksanakan dengan penuh rasa tangongjawab kepada Allah dan rakyat. Ia mesti berteraskan amanah dan mencerminkan penilaian yang sesaksama mungkin dan keadilan.

Rakyat perlu melaksanakan kewajiban mengundi atas tanggungjawab kesaksian seperti yang dikehendaki oleh Allah. Mereka tidak dibolehkan memilih pemimpin kerana perhitungan habuan wang, pangkat dan kemudahan yang dijanjikan, sebab itu adalah pengkhaianatan terhadap amanah Allah dan rakyat.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Tiga orang Allah tidak akan bercakap cakap dengannya pada hari kiamat kelak. Malah Allah tidak akan menoleh (memandang) kepadanya, Allah tidak akan menyucikan dirinya (daripada dosa). Sebaliknya disediakan untuknya seksa yang sangat pedih. Pertama; orang yang mempunyai bekalan air yang banyak di suatu kawasan lapang atau sahara tapi ia enggan untuk memberi minum “Ibnu al Sabil” para musafir (yang kehabisan bekalan minuman). Kedua; orang yang menawar untuk membeli barangan selepas asar dengan bersumpah atas nama Allah; bahawa dia akan membeli atau mengambil barang itu dengan harga tertentu. Janjinya itu dipercayai benar oleh penjual. Pada hal dia sebenarnya langsung tidak berniat untuk membelinya. Ketiga; orang membai’ah pemimpin (mengundi dan memilih atau melantik pemimpin) semata-mata kerana perhitungan keduniaan (kebendaan). Kalau orang yang dipilihnya itu memberikan janji habuannya maka barulah dia akan menunaikan kewajibannya. Kalau tidak ia akan bersikap enggan (atau ingkar).” (Hadith Muttafaqun ’alaihi)

Ciri-ciri masyarakat demokratik yang merangkum kebebasan media, sistem pilihan raya yang bersih dan adil, kebebasan ekonomi, kesamarataan peluang meraih ilmu dan rezki, akses kepada media, daftar pemilih yang bersih, kebebasan berhimpun dengan aman, kebebasan menegur pemerintah dan menggantikannya dengan yang lebih baik mengikut kaedah yang berperlembagaan dan sebagainya.

Dalam konteks Malaysia banyak pihak yang sudah membuat kajian dan menampilkan tuntutan membersihkan sistem pilihan raya yang herot, penuh manipulasi, rasuah, ugut, penipuan sehingga rakyat bangun melakukan demontrasi meminta Yang DiPertuan Agong memulihkan keherotan berkenaan. (rujuk memorandum BERSIH 10 November 07 dalam link berikut: http://www.shuraasia.org/shura/modules.php?name=News&file=article&sid=228).

Selain itu, menurut Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, “Pilihan raya umum 2004, menyaksikan undi yang dipungut oleh calon-calon Barisan Aternatif (BA) di seluruh Terengganu hanya merosot sebanyak 9,103 undi.

Dalam tahun 1999, katanya, BA memperolehi 180,239 undi manakala dalam tahun 2004 pula 171,136 undi. Perbezaannya hanya 9,103 undi sahaja. Jumlah kemorosotan ˜undi rakyat itu sangat kecil dan tidak memungkinkan Umno dan Barisan Nasional (BN) memerintah Terengganu.

“Bagaimana Umno boleh menang?” soal beliau.

Beliau mendedahkan, selepas pilihan raya 1999, ada ‘pihak tertentu’ telah membawa masuk orang bukan Terengganu untuk mendaftar sebagai pengundi di Terengganu. Terengganu menyaksikan kenaikan peratus pengundi yang luar biasa dalam tempoh tiga tahun berkenaan, iaitu sebanyak 17.7 peratus “dan ini jauh melebihi purata kebangsaan”.

Pengundi baru, kata beliau, bertambah sebanyak 68,585 orang. Undi BA merosot sebanyak 9,103 undi tetapi undi BN meningkat sebanyak 93,249 undi berbanding 1999, katanya lagi.

“Jika kita tolak 9,103 undi yang dulunya mengundi BA dan sekarang mengundi BN (93,249 tolak 9,103) jawapannya 84,146. Undi BN tidak termasuk pertambahan undi rakyat sebanyak 9,103 undi tadi telah meningkat sebanyak 84,146 undi!

“Angka ini melebihi angka pertambahan pengundi baru seramai 68,585 orang! Misteri ini tidak dapat dijawab walaupun mengambil kira pertambahan secara mendadak peratus keluar mengundi iaitu sebanyak 25.1% berbanding pilihan raya sebelumnya. Jika semua peratus keluar mengundi yang bertambah dilonggokkan untuk BN, iaitu seramai 11,279 undi, masih belum dapat menjawab bagaimana Umno/BN mendapat pertambahan sebanyak 84,146 undi berkenaan,” Exco Kerajaan Kelantan itu mendedahkan.

Oleh itu sistem yang herot, tidak adil, tidak demokratik ini sudah pasti bercanggah dengan nilai syara’ dan kaedah halal haram Islam.

Dengan demikian setiap penjawat jawatan yang mendapat rezki dengan cara yang salah dan tidak selaras dengan dasar syara’ adalah termasuk dalam kategori rezki haram.

Kecuali pihak yang tidak ada kena mengena dengan penggubalan dasar berkenaan yang terpaksa mengharung perjuangan politik untuk menegakkan yang ma’ruf mencegah yang munkar seperti golongan pembangkang dan penobat Islam.

Mereka termasuk dalam golongan mustadh’afin yang memanfa’atkan kaedah fiqh; Mala Yudrak Kulluhu la Yutrak julluhu dan konsep dharurah atau ‘umum al balwa dan lain-lain. Mereka mengharung perjuangan yang mendesak dan terdesak demi menobatkan Islam atau keadilan dan mempertahankan apa yang masih boleh dipertahankan dalam sistem yang herot dan tidak seimbang.

Namun mereka tetap mempunyai tekad yang murni untuk memulih dan membetulkan kaadaan jika mereka berkuasa.

Kumpulan ini, para pegawai kerajaan dan pekerja yang berstatus seperti itu sudah tentu tidak terjejas dan tidak terlibat dengan hukum berkenaan selama mereka berazam dan bertekad untuk meluruskan kaedah dan amalan demokrasi herot tersebut apabila mereka mampu dan berkuasa.

Allah berfirman dalam surah al Nisa’ ayat 98-99:

“Kecuali golongan mustadh’afin yang terdiri dari kalangan lelaki dan perempuan yang tidak berdaya dan tidak menemui jalan keluar (yang lain sebagai penyelesaian).”

Bagi kumpulan yang berlaku ke atas mereka hukum haram rezki tersebut dari segi syara’ kerana tindak tanduk mereka yang haram dan menipu atau bersekongkong dengan penipuan tersebut maka sesiapapun dari keluarga mereka akan terlibat sekiranya mereka memakan rezki haram .

Namun hukum mereka terserah kepada Allah. Seandainya mereka anak kecil maka ibu bapanyalah yang bertanggongjawab terhadap dosa berkenaan. Apabila ia sudah dewasa dan dapat berusaha sendiri dia wajar mencari rezki dari sumber halal dan tidak terus memakan atau hidup dengan harta haram tersebut.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda:

Wahai saudara saudara sekalian. Allah itu baik (bersih) tidak menerima kecuali sesuatu yang baik (bersih). Allah memerintahkan orang yang beriman dengan arahan yang diperintahkan juga kepada para Rasul. Allah berfirman: “Hai para Rasul; makanlah rezki yang baik-baik yang telah Kami kurniakan, berbuatlah amal soleh; justeru Aku sangat tahu apa yang kamu kerjakan”. Allah berfirman lagi: “Hai orang yang beriman, makanlah rezki yang baik (bersih dan halal) yang telah Kami kurniakan kepada kalian. Kemudian baginda menerangkan bagaimana ada sesetengah orang yang terus berkelana di bumi, muka penuh debu dan comot seraya mengangkat tangannya berdoa kepada Allah (memohon sesuatu) wahai tuhan, wahai tuhan, malangnya makan minumnya serba haram, pakaiannya (dari sumber) haram, dia terus menerus disarai oleh rezki haram. Bagaimana mungkin Tuhan memperkenan (dan memakbulkan) doanya.

Sebab itu usaha membersihkan sistem pilihan raya, meluruskan dasar dan amalan politik dalam negara merealisasi sistem syura atau demokrasi kemanusiaan yang murni amat berkaitan dengan kejernihan hidup beragama, pemakanan rezki yang halal dan usaha mengembalikan maruah rakyat, bangsa dan negara.

Perjuangan ke arah merealisasi cita-cita ini adalah jihad dan ibadah, meskipun pada zahirnya dia mempunyai dampak politik. Ini kerana Islam adalah agama yang lengkap dan menyeluruh merangkum segenap aspek kehidupan.

Seterusnya umat Islam memang digalakkan sentiasa berdoa agar mendapat rezki yang halal dan dijauhkan Allah daripada rezki yang haram. Sebab itu selepas sembahyang sunat dhuha digalakkan mereka membaca doa berikut:

Antara lain bermaksud: …Ya Allah seandainya rezkiku di langit maka turunkanlah. Kalau di bumi maka munculkanlah. Kalau sukar maka permudahkanlah. Kalau haram sucikanlah dia. Kalau jauh dekatkanlah rezkiku itu; dengan berkat kecerahan, keceriaan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanMu. Ya Allah kurniakanlah hambaMu ini dengan kurniaan yang terbaik yang Engkau anugerahkan kepada para hambaMu yang soleh.

Petikan dari Harakah