Lelaki Haram Bergelang Tangan…

Oleh : Ustaz Zainuddin Hashim.
(Petikan dari Harakah bilangan 1348)

Antara perkara yang dilupakan orang Islam hari ini bagi memperkasakan jati diri mereka adalah belajar dan mendalami ilmu-ilmu fardhu ain dan mengetahui perancangan musuh Islam yang setiap masa mencari jalan bagi menghancurkan pegangan dan hubungan mereka kepada Allah s.w.t.

Permusuhan mereka telah disebut oleh Allah di dalam al-Quran, antaranya menerusi ayat 120 surah al-Baqarah, maksudnya : “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kamu (sebagai orang Islam) hingga kamu mengikuti agama mereka.”

Menerusi ayat 82 surah al-Maidah pula, Allah menegaskan maksudnya : ” Kamu akan dapati bahawa orang paling dahsyat menimpakan permusuhan ke atas orang-orang Islam adalah di kalangan Yahudi dan yang sekutu dengan mereka.”

Jesteru, kejahilan dan kedangkalan untuk tidak mendalami ilmu agama boleh menyebabkan seseorang itu terikut-ikut dengan tindakan, penampilan dan cara hidup orang kafir.