HADIS-hadis terakhir Nabi s.a.w. banyak memaparkan perihal keperihatinan dan kerunsingan baginda terhadap situasi umat Islam pada akhir zaman. Sebab itulah ungkapan ‘umatku” diulang-ulang dan merupakan lafaz kata terakhir Nabi s.a.w. yang didengari isteri baginda Saidatina Aisyah r.a. sebelum diwafatkan oleh Allah.

Demikianlah kuatnya kasih dan sayang Nabi s.a.w. terhadap umat baginda sehinggakan pada saat-saat akhir hayat terus resah memikirkan nasib umat. Antara yang paling dibimbangi Rasulullah s.a.w. sebagaimana diungkapkan dalam banyak hadis ialah senario perpecahan di kalangan umat Islam yang diakibatkan oleh pelbagai aliran pemikiran dan pertentangan pendapat.

Walaupun hakikatnya Islam tidak pernah menolak kepelbagaian pendapat, namun perselisihan yang menimbulkan pertentangan tajam sehingga menenggelamkan hakikat persamaan risalah dan matlamat ditentang sama sekali.

Jika diperhatikan secara objektif, kebanyakan perselisihan yang membawa kepada pertentangan dan perpecahan amat terkait dengan sikap fanatik terhadap pendapat sendiri, lantas cuba memonopoli pemikiran dan tiada kesediaan untuk menghormati pandangan orang lain. Penyakit yang disebut juga sebagai ‘al-‘ijab bi al-ra‘yi’ atau penyakit mengkagumi pendapat sendiri ini bagaikan wabak merbahaya yang sedang menjalar dalam urat saraf umat sehingga mereka tidak lagi mewarisi sikap dan adab para pejuang dan pendokong Islam terdahulu.

Kejahilan

Sesungguhnya kedatangan Islam kepada umat manusia bertujuan membebaskan mereka daripada kejahilan dan kejumudan kepada pemikiran yang bebas dan merdeka yang dibimbing oleh cahaya wahyu Ilahi. Sebab itulah Rasulullah s.a.w. menegaskan: Sesiapa keluar daripada ketaatan (terhadap pemerintah) dan memisahkan diri daripada al-jama‘ah lalu dia mati, maka dia mati jahiliah. Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada assabiah atau marah kerana assabiah maka kematiannya adalah jahiliah. (Riwayat Muslim, An-Nasai dan Ibnu Majah).

Perkataan al-Jamaah dalam hadis di atas tidaklah merujuk secara khusus kepada mana-mana parti politik ataupun pertubuhan-pertubuhan tertentu. Sebaliknya mengikut ulama Al-Hindawi dalam bukunya Dirasat Haul al-Jama‘ah wa al-Jama‘at, perkataan al-jamaah sebagaimana yang disebut dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. merujuk kepada kesepakatan kaum muslimin, para sahabat Nabi s.a.w., para ulama, para pemerintah dan lain-lain.

Apa yang turut dipertegaskan dalam hadis di atas ialah penentangan Nabi berkenaan ketaksuban membuta tuli seseorang kepada kelompok yang disertainya. Sebab itulah Al-Sindi dalam kitab Syarh Ibn Majah menerangkan kalimah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) ialah fenomena ketaksuban melampau di kalangan masyarakat yang berhimpun dan menyokong atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil.

Sikap sebeginilah yang Nabi s.a.w. istilahkan sebagai assabiah atau ketaksuban melampau terhadap sesuatu kaum atau kelompok. Hinggakan Nabi secara keras dan tegas menentang sesiapa yang mendokong dan melebarkan faham assabiah yang menyesatkan. Dalam hadis lain disebutkan: “Bukan di kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada assabiah, bukan sesiapa yang berperang atas assabiah, dan bukan di kalangan kami sesiapa yang mati atas assabiah. (Riwayat Abu Daud).

Istilah assabiah bukanlah bermaksud halangan Islam terhadap semangat cintakan sesuatu kaum atau kelompok. Dalam menjelaskan maksud assabiah, Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh Wathilah bin al-Asqa’: Wahai Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan al-assabiah? Sabda baginda: “Kamu menolong kaummu atas kezaliman”.

Namun apa yang menyedihkan kini, umat Islam rata-rata dihinggapi penyakit assabiah yang menyesatkan. Penyakit assabiah atau ketaksuban kepada kelompok hingga tergamak menyesatkan kelompok yang lain bagaikan fenomena lumrah di mana-mana sahaja termasuklah di dalam negara kita yang tercinta ini.

Suasana

Gara-gara penyakit inilah maka kita menyaksikan suasana umat yang amat menyayat hati dan meruntun emosi. Gamatnya pertelagahan di kalangan pendokong-pendokong wadah Islam sehingga mengakibatkan terabainya tanggungjawab utama menyelesaikan pelbagai masalah umat yang melanda kini. Sebaliknya seluruh tenaga dihabiskan dan tertumpu kepada polemik, politiking, adu-domba dan perlumbaan menambah bilangan penyokong pendapat masing-masing.

Justeru, dalam upaya mengembalikan sinar kegemilangan Islam yang semakin pudar, usaha penjernihan sikap dan pemikiran harus segera dilakukan ke atas setiap umat Islam. Umat seharusnya kembali menjiwai budaya dan prinsip penting yang mendasari sikap dan perwatakan generasi awal Islam terutamanya dalam menangani fenomena perbezaan pendapat ini.

Prinsip-prinsip tersebut termasuklah sikap keterbukaan kepada pandangan berbeza, tidak taksub atau fanatik kepada pandangan sendiri, berlapang dada, saling hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain. Mungkin jalan keluar dari belitan konflik kefanatikan pemikiran yang melanda kini terumus dalam ungkapan keramat tokoh reformis Islam, Jamaluddin al-Afghani: Bekerjasamalah dalam hal-hal yang disepakati dan berkompromi dalam hal-hal yang diperselisihkan.

Sesungguhnya kepelbagaian pendapat sebenarnya mampu memperkaya khazanah pemikiran Islam andainya kita bersedia menghadapinya secara dewasa. Tetapi andainya kita menanganinya dengan sikap keanak-anakan, menganggap mereka yang tidak sealiran sebagai musuh, maka perbezaan pendapat pasti menjadi bahan bakar penyemarak api persengketaan yang membinasakan.

 

About these ads