Masyarakat yang termasuk dalam kelompok yang diistilahkan sebagai Negara-negara yang sedang membangun ketika ini sedang mengalami semacam keadaan terpukau dengan slogan-slogan seperti pembangunan Negara, nation building dan seumpamanya. Kalimat pembangunan telah dikeramatkan begitu rupa sehingga hampir berstatus kalimat suci yang tidak boleh dipersoal lagi. Sebenarnya apa yang disebut pembangunan itu rata-rata menjurus ke arah penghancuran kemanusiaan atau dehumanisasi. As Syahid Sayyid Qutb yang menjelaskan fenomena trajis ini dengan istilah At Tadmiru insan (penghancuran kemanusiaan) menyatakan bahawa manusia sedang mengalami proses penghapusan ciri-ciri kemanusiaannya dan sekaligus mengalami proses pemupukan ciri-ciri kerobotan dan kehaiwanan. Inilah yang sebenarnya yang berlaku disebalik tabir indah pembangunan.

Hakikat mengingatkan kita kepada firman Allah,


وَإِذَا قِيْلَ لَهُمْ لاَ تُفْسِدُوْا فِي الأَرْضِ قَالُوْا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُوْنَ . أَلاَ إِنَّهُمْ هُمُ المُفْسِدُوْنَ وَلَكِنْ لاَ يَشْعُرُوْنَ.

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan”.
“Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya”. Al Baqarah 11-12

Apa yang didakwakan sebagai pembangunan (islah) itu sebenarnya adalah kerosakan (fasad) dan golongan yang mendakwa sebagai pembangun itu (muslihun) sebenarnya adalah perosak (mufsidun) tetapi mereka tidak menginsafi lantas tidak mengakuinya. Ianya adalah pembangunan kebendaan melulu yang bebas dari ikatan nilai dan kawalan norma samawi, tegasnya pembangunan permisif dan anarkis (ibahiyy dan fawdawiyy) yang tidak mengenal batas halal-haram atau nilai ma’ruf munkar – apa sahaja asal memberi laba. Demikianlah arah dan padah pembangunan yang mengabaikan dimensi kemanusiaan dan menolak nilai-nilai ketuhanan.
Pembangunan yang berorentasi permisif dan anarkis buka sahaja telah menghancurkan ciri-ciri kemanusiaan malah dengan sewenang-wenangnya telah mencabul dan memperkosa alam. Atas nama pembangunan berleluasalah penggalian bumi, peruntuhan gunung, penebangan hutan, pendirian industri-industri raksasa dengan sewenang-wenang tanpa pertimbangan ekologi dan kemanusiaan. Akibatnya alam dan kehidupan menderita mala-petaka hakisan dan pencemaran secara besar-besaran. Apa yang menjadi perhitungan hanya kepentingan materi- untung yang menggunung dan laba yang berjuta.

MODEL PEMBANGUNAN RASUL S.A.W.

Sebenarnya pembangunan bukan satu isu baru dalam sejarah peradaban manusia. Setiap tamadun yang pernah lahir dalam sejarah mempunyai dasar pembangunannya sendiri. Dalam hubungan ini Islam sejak saat-saat awal kelahirannya lagi sudah mengajukan dasar pembangunannya sebagaimana yang telah dibuktikan sendiri secara lisannu hal oleh Rasulullah s.a.w. Junjungan telah ditampilkan untuk menangani permasalahan dunia yang umumnya sedang gawat dengan pelbagai kerosakan dan kebejatan yang global dan merata. Rasanya ayat berikut cukup untuk menggambarkan kegawatan tersebut.

ظَهَرَ الفَسَادُ فِي البَرِّ وَالبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيْقَهُمْ بَعْضَ الَّذِيْ عَمِلُوْا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُوْنَ.

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”. Ar-rum: 41

Suasana kejahilan yang mendominasikan masyarakat kota makkah ketika itu adalah mewakili dan mencerminkan kejahilan dunia seluruhnya. Dalam rangka membangun masyarakat yang demikian rupa Rasulullah s.a.w. telah menggunakan formula Pembangunan Insan- membebaskan dari segala bentuk pengabdian selain Allah menerusi akidah La ila ha illa Allah. Rangkaian kalimat-kalimat tersebut adalah merupakan deklarasi kebebasan manusia dari segala kekangan faham keberhalaan dan kebendaan, kelepasan belenggu perhambaan manusia dengan segala sistem,nilai, akta dan ordinan bikinannya, kemerdekaan dari kongkongan hawa nafsu dengan segala runtuhan dan keserekahannya. Manusia hanya dan cuma menjadi hamba kepada Allah yang maha Esa sahaja – tidak kepada apa dan siapa selainNya. Dengan demikian manusia memperoleh karamahnya digniti dan harga dirinya selaku makhluk merdeka, mulia dan istimewa.
Pembangunan insan adalah mencakup seluruh dimensi kemanusiaan seutuhnya- rohaniyah, akliyah dan jasmaniyah. Rohaniyahnya dibangun dengan iman dan takwa menerusi orientasi ketekunan beribadah, pupukan sifat-sifat keutamaan dan pegasimilasian sifat-sifat ketuhanan (Takhalaqu bi akhlaqi ‘Llah – al Hadith). Akliyahnya dibangunkan dengan membebaskan dari belengggu tahyul, khurafat dan fahaman sesat lantas mengarahkannya memerhati dan meneliti semesta raya dengan segala fenomena dan panoramanya secara rasional dan saintifik. Sesudah itu digugah dengan kejutan afala ta’qilun? Afala tatafakkarun? – tidakkah kamu fikirkan? Ini adalah lonjakan pertama ke arah kemajuan dan pemikiran selanjutnya. Di samping itu manusia diinsafkan bahawa akal adalah anugerah istimewa yang mencirikan kemanusiannya dan sekaligus amanah tuhan yang harus dipelihara kewarasannya.
Jasmaniyahnya pula dibangunkan dengan melayani hak-hak dan keperluan asasinya – makan minum dan perlindungan yang secukup dan sebaiknya. Pembinaan tubuh diberinya nilai keimanan yang sewajarnya (mu’min yang gagah lebih baik daripada mu’min yang lemah – maksud Al Hadith). Kesihatan tubuh adalah merupakan satu lagi amanah Allah kepada manusia. Ianya harus sentiasa dipelihara dari segala bahaya dan salahguna. Kesihatan tubuh adalah penting untuk memungkinkan manusia memenuhi fungsi hidupnya- mengabdi kepada Khaliq berbakti kepada makhluk.
Pembangunan insan tidak hanya terbatas pada tahap individu tetapi mencakup juga pembangunan insan pada tahap kolektif. Dengan ungkapan lain, pembangunan insan fardiah dan jamaiyyah. Diaturnya kehidupan berkeluarga dengan segala hukum hakamnya sehingga kehormatan keluarga terjamin dan terkawal. Seterusnya diatur pula kehidupan bermasyarakat dengan dasar-dasar persaudaraan dan keadilan,permuafakatan dan ketaatan. Dengan prinsip-prinsip ini terbangunlah masyarakat unggul dengan rakyat yang sahih dan imam yang adil.

PEMBANGUNAN MATERIAL

Pembangunan material (kebendaan) juga termasuk dalam rangka pembangunan insan. Manusia diwajibkan kasbu al halal – mencari dan menggali khazanah anugerah Allah secara wajar dan halal. Memang segala kekayaan di bumi ini disediakan buat manusia tetapi pemilik hakikinya tetap Allah, manusia diberi hak memanfaatkannya menurut cara yang diizinkannya. Dengan ugkapan lain bumi dengan segala potensinya adalah merupakan amanah Allah yang dimandatkan kepada manusia yang dikhalifahkan untuk dibangunkan dan dimakmurkan. Oleh itu segala usaha pembangunan harus sentiasa dikawal oleh rasa tanggungjawab kekhalifahan – rasa tanggungjawab sebagai perlaksanaan perintah, hukum,nilai dan amanah ketuhanan seluruhnya.
Pembangunan material harus direncana dan digubah begitu rupa sehingga manfaatnya tidak hanya terbatas dalam kehidupan duniawi kini malah dapat pula dimanfaatkan dalam kehidupan ukhrawi yang abadi nanti. Tegasnya pembangunan dalam perspektif Islam mempunyai matlamat jangka panjang yang menjangkau ke alam ukhrawi. Ianya dilaksanakan dalam rangka merealisasikan cita-cita hasanatan fid dunya dan hasanatan fi ‘l akhirah; sebagaimana ianya juga dilaksanakan dalam rangka menyahut seruan Ilahi “ Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”.- maksud al Quran 28:77. Ertinya matlamat dan strategi pembangunan tidak harus terkeluar dari hakikat bahawa kebahagiaan ukhrawi itulah yang utama sedang kesenangan duniawi adalah soal kedua – survival ukhrawi dengan tidak usah sampai melupakan kesejahteraan duniawi.
Pembangunan materi juga tidak seharusnya terkeluar dari landasan mengabdi kepada yang maha Esa dan berbakti kepada sesama manusia. Atas dasar ini maka pembangunan harus dikendalikan menurut norma-norma samawi sehingga ianya dapat diterima sebagai amal salih di sisi Ilahi dan sekaligus merupakan bukti yang dapat dinikmati bersama oleh masyarakat manusia seluruhnya.
Pembangunan materi juga tidak harus ditanggapi sebagai suatu yang bersifat otonom dan berdiri sendiri. Sebenarnya ia mempunyai hubungan saling kait dengan lain-lain aspek yang non-material – yang tidak bersifat benda. Oleh itu strategi pembangunan tidak boleh didasarkan kepada faktor-faktor dan pertimbangan-pertimbangan materi dan ekonomi semata-mata. Para perancang dan pelaksana pembangunan harus menginsafi bahawa Iradah Ilahiyyah (divine will) adalah merupakan faktor penentu untung nasib kehidupan manusia di segala bidang termasuklah bidang pembangunan ekonomi. Dalam mengubah sunnahNya untuk diterpakan di sepanjang rangkaian kehidupan manusia Allah telah menetapkan bahawa iman dan taqwa adalah antara faktor utama yang turut menentukan kejayaan pembangunan ekonomi.

َولَوْ أَنَّ أَهْلَ القُرَى آمَنُوْا وَاتَّقُوْا لَفَتَحْناَ عَلَيْهِمْ بَرَكـَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوْا فَأَخَذْناَهُمْ بِمَا كَانُوْا يَكْسِبُوْنَ.

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”.
Al A’raf : 96

Seterusnya pembangunan harus mendukung nilai syukur dengan erti bahawa ianya dilaksanakan dalam rangka menghargai dan mengsyukuri nikmat Allah. Dan sejalan dengan itu pula pembangunan harus bersih dari segala kufr – tidak mengsyukuri dan tidak menghargai atau menyalahgunakan nikmat Allah. Hanya pembangunan yang disemangati oleh nilai syukur sahajalah yang mungkin dapat survive – hidup terus dalam menempuh gelombang dan gelora sejarah. Sebaliknya apabila sesuatu pembangunan itu telah dicemari oleh gejala-gejala kufr – menampung unsur yang bertentangan dengan ajaran dan nilai ketuhanan – maka ianya tidak akan mampu bertahan lama kerana Sunnatullah telah menentukan padah kehancurannya,


وَضَرَبَ الله ُمَثَلاً قَرْيَةً كَانَتْ آمِنَةً مُطْمَئِنَّةً يَأْتِهَا رِزْقُهَا رَغَدًا مِنْ كُلُِّّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ اللهِ فَأَذَاقَهَا اللهُ لِبَاسَ الجُوْعِ وَالْخَوْفِ بِمَا كَانُوْا يَصْنَعُوْنَ.

“Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan”. An Nahl : 112

Pembangunan juga harus mendukung nilai ‘adl (keadilan) – memberikan hak kepada yang berhak sehingga pembangunan itu merupakan pembelaan terhadap mereka selama ini yang tidak dapat menikmati hak lantaran kelemahan mereka. Dan sejalan dengan itu pula pembangunan harus bersih dari segala gejala zulm (kezaliman) – menafikan hak mereka yang sebenarnya memang berhak. Dengan itu pembangunan tidak bererti proses penindasan dan proses perluasan jurang. Kezaliman merupakan satu lagi barah yang membawa padah kepada pembangunan sebagaimana yang telah terbukti dalam precedent sejarah umat silam,


وَكََََمْ قَصَمْناَ مِنْ قَرْيَةٍ كَانَتْ ظَالِمَةً وَأَنْشَأْنَا بَعْدَهَا قَوْمًا آخَرِيْنَ

“Dan berapa banyak Kami telah pecah-belahkan dan binasakan penduduk negeri yang melakukan kezaliman dan Kami telah menjadikan sesudah mereka, kaum yang lain sebagai gantinya”.
Al anbiya’ : 11

Keadilan dalam pembangunan harus pula merata menggenapi seluruh lapisan masyarakat sehingga ianya benar-benar merahmati alam seisinya (rahmatan lil ‘alamin), terutama mereka yang miskin, terlantar dan gelandangan.

KEADILAN ALA MALAYSIA

Dalam hubungan ini wajar sekali diperlihatkan sejauh mana prinsip keadilan yang merata ini telah terlaksana dalam praktik pembangunan di Malaysia. Satu penyelidikan ilmiah yang dikendalikan bersama oleh Bank Dunia dan Universiti Sussex London, tidak lama dahulu telah mendedahkan satu kenyataan yang amat menjolok di mana Malaysia (yang berslogan masyarakat adil ini) rupa-rupanya termasuk dalam kelompok negara-negara yang mengalami keadaan high inequality (jurang ketidak seimbangan yang sangat dalam). 40% daripada penduduknya yang berpendapatan rendah menerima tidak sampai 12% dari jumlah pendapatan negara.
Rekod high inequality ini nampaknya terus dipertahankan hingga ke era Dasar Ekonomi Baru sekarang ini. Antara perkembanga mutaakhir yang membuktikan hakikat ini termasuklah Kongres Ekonomi Bumiputra baru-baru ini yang jelas lebih menumpu kepada ekonomi golongan yang bermoral besar sahaja sedang ekonomi rakyat terbanyak yang masih terletak di bawah garis kemiskinan (poverty line) telah diabaikan.
Pembangunan Islamiyyah dengan dasar keadilannya yang merata dan dengan dasar pengutamaan kepentingan awamnya sama sekali tidak dapat mengizinkan pembolotan harta oleh golongan-golongan tertentu. Nampaknya pakar-pakar pembangunan kita masih setia berpegang dengan teori basi W. Arthur Lewis, “ our subject matter is growth, and not distribution”. (persoalan kita adalah pertumbuhan dan bukannya pengangihan). Kerana itu kayu ukur yang digunakan ialah pertambahan GNP (pendapatan kasar negara) atau pertambahan pendapatan perkapita yang sama sekali tidak mencerminkan kemakmuran yang merata.

RUMUSAN CIRI PEMBANGUNAN ISLAM

Jelas kiranya bahawa pembangunan dalam perspektif Islam adalah pembangunan manusia seutuhnya – mengenepikan segala dimensi dan potensi kemanusiaan dan pembagunan masyarakat seluruhnya- meratai setiap golongan dan lapisannya. Pembangunan adalah bersifat berbilang bidang (multi-dimensional) tetapi sekaligus padu (integrated) pembangunan yang mencangkup dimensi-dimensi kerohanian dan kebendaan dengan hubungan yang padu (integral) dalam kepelbagaian dimensinya, kepaduan yang berpaksikan Tauhid. Pembangunan adalah yang bersifat goal and value oriented – menuju ke arah matlamat keredaan Allah dan di dasari oleh nilai-nilai murni ajaran samawi. Dasar dan orientasi demikianlah yang mungkin membawa tercapainya idealisme pembangunan negara makmur dengan limpah pengampunan Tuhan.

َبلدَةٌ طَيّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

“ negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun”
Saba’ : 15

Petikan dari Ar Risalah bil 1 tahun 80

About these ads